Nahas pelajar UiTM: Pemandu wanita turut didakwa cubaan bunuh Ammar Danish

Iklan
Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar UiTM Dungun pada Rabu turut didakwa pertuduhan cubaan membunuh salah seorang mangsa kemalangan. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu lalu dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa pertuduhan cubaan membunuh salah seorang mangsa.

Tertuduh, Norizan Ismail, 49, didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar universiti itu dalam kejadian yang sama.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20 pada tarikh, hari dan masa yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Iklan

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim dan tertuduh diwakili peguam Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Iklan

Sepanjang prosiding dijalankan, wanita berkenaan kelihatan sugul dan resah di dalam kandang tertuduh.

Sebelum itu, di Mahkamah Majistret Dungun, Norizan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perdakwaan ke atasnya dibacakan dihadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap tiga pelajar, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Jamaludin, 20.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Dungun jam 7.35 malam.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Kedua-dua mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan dan pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Permai, Johor serta menetapkan 17 dan 18 November depan bagi sebutan semula kes.