KOTA KINABALU - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berpandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara agensi kerajaan yang paling banyak dan lebih keras dalam mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangannya.
Menurut beliau, ini adalah disebabkan pasukan polis tidak pernah berkompromi dengan sebarang salah laku pegawai dan anggotanya.
"Seperti mana Ketua Polis Negara sebut, pasukan tidak pernah berkompromi dengan segala salah laku pegawai mahupun anggota.
"Dalam konteks ini saya rasa kalau diambil kajian daripada agensi-agensi kerajaan, saya rasa pihak PDRM telah mengambil tindakan tatatertib yang jauh lebih banyak dan lebih keras berbanding agensi lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel jemputan pada Majlis Penutupan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.
Mohd Shuhaily berkata, usaha itu adalah untuk memperbaiki perkhidmatan polis terhadap masyarakat khususnya.
"Dalam perkataan lain, kita bukanlah mengiktiraf, tetapi kita mengetahui bahawa perkara ini wujud dan kita tidak pernah lari dari kepincangan tersebut dan kita sentiasa cuba memperbaiki perkhidmatan kepolisan itu sendiri.
"Namun, apa yang berlaku adalah di atas sikap individu itu sendiri. Saya rasa dalam konteks pasukan, kita telah memberikan segala latihan, segala keperluan dalam konteks kerja, namun ia berbalik kepada individu.
"Sama juga macam konteks konvensyen hari ini, rata-rata mengatakan bahawa untuk memperkukuhkan integriti agensi dan sebagainya namun ia kembali kepada individu itu sendiri," katanya.
Sebelum itu, KITA yang diadakan selama dua hari bermula Isnin dihadiri kira-kira 2,500 penjawat awam dan dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.