[VIDEO] Ahli, pengikut GISBH mengaku amal ajaran Aurad Muhammadiah - Saifuddin

Iklan

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan ada pengakuan bahawa ahli dan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih lagi mengamalkan kepercayaan Aurad Muhammadiah yang diwarisi sejak era Al-Arqam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berdasarkan hasil soal siasat dijalankan ke atas ahlinya yang ditahan.

Iklan
Iklan

"Kalaupun ada kenyataan di luar yang menyebut bahawa mereka sudah pun tidak lagi mengamalkannya, itu kenyataan mereka.

"Kita akan hanya bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan yang berlaku," katanya dalam sesi penerangan berkenaan GISBH di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Menurut Saifuddin, polis dan beberapa agensi di bawah KDN sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh.

Saifuddin Nasution pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

Beliau turut mengakui bahawa siasatan tersebut sangat kompleks kerana ia ikut melibatkan rangkaian syarikat yang beroperasi di dalam dan di luar negara.

Iklan

"Ia melibatkan 18 negara luar dan fokus adalah terhadap tujuan untuk menyembunyikan sifat sebenar operasi di depan wajah perniagaan.

"Ada elemen penyebaran ajaran yang menyimpang, yang telah pun dibuat keputusan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. GISBH ini adalah inisiatif yang ketiga.

"Inisiatif yang dikaitkan dengan GISBH sebelum ini ialah pertubuhan Al-Arqam dan disusuli dengan Rufaqa Corporation Sdn Berhad.

"Status kedua-duanya telah diharamkan, meliputi gerakan pertubuhan, aktiviti dan bahan penerbitan," katanya.

Menurutnya, dalam konteks inilah PDRM memberi tumpuan kepada beberapa undang-undang penting yang berkaitan, termasuklah terhadap operasi syarikat dan aspek kebajikan serta perlindungan terutama kanak kanak dan wanita.

Pihak berkuasa jelasnya, mengguna pakai akta-akta yang di bawah kawal selia KDN, khususnya polis.

"Siasatan juga membabitkan sejumlah agensi termasuklah Kementerian Pendidikan termasuk juga Kementerian Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak.

"Kita juga ada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Kimia, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pendaftar Pertubuhan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan senarainya yang panjang,” jelasnya.

Saifuddin turut meminta semua ahli Parlimen untuk mengiktiraf siasatan yang sedang dijalankan dan menyatakan ia merupakan satu isu kepentingan awam yang signifikan.

Menurutnya, kementerian dan kerajaan mengambil serius tuduhan-tuduhan tersebut serta menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang sedia ada, sebelum membuat kesimpulan atau penilaian.

"Apa yang jelas, tiada motif politik sama sekali dalam kerajaan mengendalikan kes ini dan jenayah terhadap kanak kanak berlaku.

"Kes yang sudah disabitkan itu, tertuduh membuat pengakuan, sudah dipenjarakan 10 tahun.

"Itu melibatkan penderaan terhadap kanak kanak. Ada kes yang sudah pun dituduh, 15 kes sudah dituduh setakat ini dan menunggu tarikh perbicaraan.

"Wujud pelanggaran terhadap banyak undang-undang dan kita perlu menjalankan siasatan dengan betul, bertanggungjawab dan membiarkan proses undang-undang mengambil tempat yang sewajarnya,” jelasnya.