BAGAN DATUK - Bimbang dibadai ombak besar sekali lagi akibat fenomena air pasang besar, pemilik pelantar pelancongan di Bagan Sungai Burung di sini sanggup mengeluarkan modal hampir RM400,000 bagi projek pencegah gelombang di kawasan tersebut.
Pengusaha pelancongan, Khor Weng Kiang berkata, projek yang sedang berjalan itu dilaksanakan bertujuan mengurangkan impak jika berlaku ombak besar memandangkan fenomena air pasang besar sedang berlangsung sehingga 21 Oktober ini.
Jelasnya, inisiatif itu terpaksa dilakukan dengan peruntukan sendiri kerana bimbang berlaku gelombang yang lebih besar kali ini kerana diramalkan fenomena air pasang besar lebih tinggi berlaku minggu ini.
"Projek ini saya sudah mulakan sejak tiga minggu yang lalu dan ia masih lagi diteruskan. Usaha ini dibuat selepas mendapat nasihat daripada mereka yang pakar mengenainya.
"Saya harap sangat ada pihak berkaitan yang sudi membantu untuk mengatasi isu ini. Kita sudah minta kepada agensi yang berkaitan dan harap ada berita gembira," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Weng Kiang berkata, setakat ini projek pencegah gelombang itu masih belum teruji sepenuhnya oleh ombak besar dan berharap ia mampu menahan impak alam semula jadi itu.
Jelas Pengurus Nine Island Agency Sdn Bhd itu, benteng pencegah ombak dibina berhampiran pelantar tersebut adalah sepanjang kira-kira 60 meter sehingga kini.
Pada 19 September lalu, pelantar pelancongan milik Weng Kiang rosak teruk apabila dibadai ombak besar ekoran fenomena air pasang besar.
Keadaan itu menyebabkan aktiviti penduduk serta sektor pelancongan di kawasan Bagan Sungai Burung dekat sini turut terjejas.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi satu notis peringatan memaklumkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Oktober dengan paras air tertinggi antara 3.1 meter (m) hingga 3.4 m melibatkan daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Kawasan berisiko tinggi di Hilir Perak adalah di Taman Karentina, Batak Rabit, Pekan Teluk Intan, Kampung Bahagia, Changkat Jong, kawasan Mukim Sungai Durian dan kawasan berdekatan sungai.
Bagi daerah Bagan Datuk pula, kawasan berisiko tinggi ialah Mukim Rungkup, Mukim Bagan Datuk, Mukim Teluk Bharu, Mukim Sungai Durian, Sungai Samak, Sungai Manila, Kampung Banang, kawasan Hutan Melintang dan kawasan berdekatan sungai serta pantai.