Lelaki Vietnam tendang cermin kereta selepas muntah, didenda RM4,000

Iklan
Tindakan seorang lelaki warga Vietnam menendang cermin sisi sebuah kereta e-hailing kerana berang ditegur selepas muntah dalam kereta mengundang padah apabila dia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

AMPANG – Tindakan seorang lelaki warga Vietnam menendang cermin sisi sebuah kereta e-hailing kerana berang ditegur selepas muntah dalam kereta mengundang padah apabila dia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Vo Dinh Dong, 40, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa dengan niat curang melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan terhadap cermin sisi kiri kenderaan jenis Honda City, milik S Gobikannan, 50, di sebuah kondominium di Pinggiran Cheras, Ampang di sini, pada jam 12.40 tengah malam, pada 6 Oktober lalu.

Iklan

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 426 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, pemandu e-hailing selaku pengadu telah mengambil seorang lelaki dan wanita di Jalan Sultan Ismail ke kondominum berkenaan.

Iklan

Semasa dalam perjalanan, tertuduh muntah menyebabkan pengadu menegurnya dengan baik.

Setibanya tempat yang dituju berlaku pertengkaran mulut dan tolak-menolak antara mereka, menyebabkan tertuduh telah menendang cermin sisi kereta itu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes, tertuduh sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta pengadu sehingga mengalami kerugian.

Bagaimanapun, peguam, Dony Abdullah yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan insaf atas perbuatan yang dilakukan.