GEORGE TOWN - Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang akan meneliti semua ramalan dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada hujung bulan ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, unit tersebut akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan untuk menangani sebarang kejadian luar jangka seperti pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa lokasi tumpuan di lima daerah di negeri ini.
"Semua agensi di Pulau Pinang juga kini dalam keadaan bersiap sedia susulan musim monsun yang akan tiba, yang berpotensi mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir di negeri ini.
"Seperti jangkaan sebelum ini, fenomena air pasang besar akan berlaku di Pulau Pinang antara 18 hingga 21 Oktober ini," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meramalkan fenomena air pasang besar akan berlaku di Pulau Pinang antara 18 hingga 21 Oktober ini.
Bukan itu sahaja, banjir kilat juga dijangka akan berlaku sekiranya hujan lebat dalam tempoh tersebut.
Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024 paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah di antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dalam tempoh berkenaan.
Pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang akan berisiko tinggi kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, bacaan kekeruhan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ketika ini menunjukkan pada kadar 470 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) iaitu masih di paras terkawal.
Tambah beliau, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memantau tahap kekeruhan di loji berkenaan dari masa ke semasa susulan kejadian banjir yang berlaku di Baling, Kedah.
"PBAPP akan terus memantau keadaan, sebab sumber kekeruhan (air Sungai Muda) adalah kesan banjir di kawasan hulu sungai di Baling khususnya. Ketika ini, kadar kekeruhan masih terkawal dan tidak menjejaskan LRA Sungai Dua.
"Kita tidak mahu kejadian banjir di hulu akan membawa impak kepada kita (Pulau Pinang)," katanya.
Menurutnya, sekiranya tidak berlaku kejadian banjir di Kedah, paras normal kekeruhan yang dicatatkan adalah antara 100 hingga 200 NTU.
"Bacaan ketika ini masih terkawal, jika normal, ia lingkungan 100 hingga 200 NTU. Jika kekeruhan sangat teruk, bacaan boleh mencapai sehingga 1,000 NTU. Ini yang berlaku pada tahun lalu sehingga PBAPP terpaksa menghenti tugas sementara di LRA Sungai Dua.
"Selepas kejadian itu, PBAPP telah meningkatkan sistem di loji berkenaan.
"Sistem ini dapat menampung NTU yang tinggi agar ia tidak menjejaskan operasi harian di loji selepas kejadian dua tahun lalu," katanya.