SEREMBAN - Tiada lagi aktiviti perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) beroperasi di Seremban 2 di sini selain terdapat papan tanda premis yang telah diturunkan.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi juga mendapati salah satu bangunan kedai makannya telah dicat warna lain manakala beberapa premis lain seperti kedai menjual cendol, cafe, bakeri dan warung menjual kuih masih ada papan tanda.
Bagaimanapun, keadaan di semua premis tersebut terbiar dan masih terdapat tali sitaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Menurut seorang peniaga yang enggan dikenali, dia tidak pernah lagi melihat pekerja atau pihak berkenaan datang ke premis itu sejak isu GISBH dibongkar pihak berkuasa.
"Memang semua premisnya tidak lagi beroperasi namun saya tidak pasti pula bila sebuah premisnya dicat serta papan tanda diturunkan, mungkin orang lain sudah ambil alih. Saya tidak pasti," katanya.
Premis Ikhwan Mutiara Rini sudah tidak beroperasi
Sementara itu di ISKANDAR PUTERI, JOHOR premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Taman Mutiara Rini di sini didapati sudah tidak beroperasi ketika ini.
Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan pada Selasa mendapati deretan bangunan yang dahulunya beroperasi sebagai pasar mini, pusat perubatan, kafe dan juga gerai jualan ditutup sepenuhnya.
Malah, papan tanda juga sudah tidak ada kecuali di Ikhwan Cafe namun, premis berkenaan sudah tidak beroperasi.
Terdapat notis di bangunan berkenaan dan ia dibuka untuk sewaan serta jualan.
Menurut seorang pekerja bengkel di kawasan berkenaan yang enggan dikenali, kesemua premis berkenaan telah ditutup kira-kira lebih dua minggu lalu.
Bagaimanapun katanya, dia tidak tahu mengenai punca sebenar kesemua premis tersebut ditutup.
"Saya memang tak tahu kenapa kafe termasuklah kedai serbaneka di sini ditutup.
"Daripada cerita kawan-kawan, mereka (peniaga premis GISBH), dikatakan telah melakukan kesalahan dan memiliki bayaran sewa yang tertunggak," katanya.