PUTRAJAYA - Sabah merintis usaha mempromosikan destinasi luar bandar dengan membawa pengusaha pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) negeri itu ke Semenanjung Malaysia.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, buat pertama kalinya CoBT Sabah bertemu dengan ejen pelancongan dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).
"Saya percaya Sabah adalah negeri pertama yang pernah mengadakan jerayawara atau ‘roadshow’ khusus untuk mempromosikan dan memasarkan produk pelancongan luar bandar di peringkat kebangsaan.
"Kami memanfaatkan trend ‘back-to-nature’ yang semakin mendapat tempat dan diminati pelancong," katanya pada sidang akhbar sempena berlangsungnya sesi B2B itu di Hotel Moxy di sini pada Selasa.
Sesi B2B tersebut dibuat sebagai promosi awal produk pelancongan luar Bandar Sabah di Sabah sempena Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (SCBTF) 2024 yang akan berlangsung dari Rabu hingga Ahad ini di IOI Mall Putrajaya.
Sesi tersebut melibatkan sebanyak 27 persatuan pelancongan dari 22 daerah di Sabah sekali gus memperkenalkan ejen kepada pelbagai pengalaman budaya, pengembaraan dan alam semula jadi yang ditawarkan di luar bandar Sabah.
Persatuan yang mengambil bahagian termasuk wakil dari daerah Ranau, Inanam, Kota Belud, Kiulu, Tuaran, Papar, Membakut, Kuala Penyu, Sipitang, Penampang, Tenom, Nabawan, Kemabong, Keningau, Tambunan, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Tongod, Telupid, Beluran, Kunak, Lahad Datu, dan Kinabatangan.
Joniston menegaskan, acara berkenaan akan menjadi pemangkin perubahan dalam sektor pelancongan di negeri tersebut yang membuka peluang kerjasama baharu.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Pengerusi Penganjur SCBTF berkata, pengalaman itu unik dan penting untuk pertumbuhan ekonomi luar bandar.
"Kami berhasrat untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan luar bandar kami dan potensi untuk kerjasama adalah besar.
"Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, menyokong komuniti luar bandar dan kami berharap dapat mengadakan acara serupa di peringkat antarabangsa untuk menghubungkan CoBT Sabah dengan pasaran yang lebih besar," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffrey Jimit berkata, pihaknya komited menyokong komuniti luar bandar dengan menyediakan panduan dan sumber penting untuk mempromosikan destinasi luar bandar negeri berkenaan di dalam dan luar negara.
"Pelancongan adalah platform untuk memperkasakan masyarakat luar bandar, memacu pertumbuhan sosio-ekonomi dan memupuk komuniti yang mampan selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) 11," ujarnya.
Kata beliau, acara SCBTF 2024 yang berlangsung selama lima hari dan turut melibatkan penyertaan lima koperasi usahawan kraftangan akan mengetengahkan 34 gerai dari pelbagai persatuan pelancongan dan produk tempatan Sabah.
"Orang ramai yang datang boleh menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk persembahan tarian budaya, permainan tradisional, demonstrasi kraf dan persembahan langsung oleh artis tempatan Sabah, Zachkiddin Zachry.
"Pengunjung juga boleh menyelami pengalaman Realiti Maya (VR) yang memberikan gambaran mereka sedang berada dalam landskap luar bandar Sabah yang unik selain berpeluang memenangi hadiah menarik melalui teka silang kata, kata carian, cabutan bertuah dan sesi putar roda interaktif yang diadakan sepanjang hari," kata beliau.