MELAKA - Malaysia hampir pasti mampu melahirkan bintang ternama disiplin BMX sekiranya penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia yang diluluskan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menjadi kenyataan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh menjelaskan beliau telah berbincang berhubung penubuhan pusat serantau itu pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UCI di Switzerland, dua minggu lalu.
"Penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia telahpun dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UCI baru-baru ini. Pada dasarnya UCI bersetuju memilih Malaysia sebagai lokasi Pusat Kecemerlangan BMX Asia di Malaysia.
"Johor adalah lokasi di mana PKBM akan membina Pusat Kecemerlangan BMX Asia ini.
Sebelum ini pada 2014, bekas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab mengumumkan Pusat Kecemerlangan BMX Asia di Melaka atau Selangor selepas mengadakan kunjung hormat di pejabat Presiden UCI, Brian Cookson di Switzerland.
Pada ketika itu, Malaysia mensasarkan penyertaan pelumba BMX pada Sukan Olimpik 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat sebagai manfaat penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia.
Malangnya rancangan tersebut gagal untuk direalisasikan atas beberapa sebab tertentu.
Bagaimanapun, Amarjit yakin penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia kali ini akan menjadi kenyataan dan beliau akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai satu formaliti.
"Saya akan berbincang dengan YB Menteri berhubung perkara ini.
"Saya berpendapat pembinaan Pusat Kecemerlangan BMX Asia boleh menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam disiplin BMX nanti,” katanya.
Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut menyatakan keyakinannya untuk merealitikan rancangan kali ini sekali gus menjadikan Malaysia menjadi kuasa terbaharu dalam disiplin BMX.
"Suasana kali ini jauh berbeza. Kali ini saya ada sokongan padu Presiden UCI David Lappartient dan ACC.
"Saya akan pastikan penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia ini menjadi kenyataan,” katanya.