IPOH - Seorang lelaki disahkan maut akibat dibaham harimau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi Bagan Balak di KM 79.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, Gerik awal pagi Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 pagi hingga 6 pagi ketika mangsa ke tandas di lokasi kejadian.
Menurutnya, isteri mangsa yang melihat kejadian pada awalnya mendengar ngauman haiwan buas itu dan melihat mangsa diheret ke arah semak berhampiran sebelum membuat laporan polis.
"Pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik bersama sepasukan anggota Jabatan Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) ke lokasi kejadian bagi tujuan siasatan dan operasi mencari dan menyelamat.
"Mangsa dijumpai kira-kira jam 12 tengah hari di lokasi dalam keadaan cedera parah pada bahagian kaki kiri dan leher," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azizi berkata, mangsa ditemui pada jarak kira-kira 100 meter dari rumah kongsi yang merupakan tempat tinggalnya bersama isteri warga Thailand.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Jelasnya, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhilitan Perak sedang menyiasat laporan serangan harimau di dalam kawasan hutan di Bersia, Gerik pada Selasa.
Susulan itu sepasukan anggota Jabatan Perhilitan diarah ke lokasi kejadian bagi menyiasat insiden tersebut.