Penghantar barang didakwa pukul kepala ibu, ugut bunuh

Iklan
Siew Wong (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

MELAKA - Seorang penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan memukul kepala dan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya.

Tertuduh, Tai Siew Wong, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleimen.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Bong Ngik Lan, 75, dengan cara memukul belakang kepala wanita itu sebanyak dua kali menggunakan tangan.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda sehingga RM2,000, jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dengan cara mengeluarkan ugutan"satu hari mesti saya bunuh awak mati".

Perbuatan itu didakwa dilakukan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, sabit kesalahan.

Iklan

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Rumah Awam Bertam Ulu di sini kira-kira jam 4.30 petang pada 26 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam, Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu tertuduh dikenakan denda rendah kerana dia hanya memperolehi pendapatan RM1,800 sebulan dengan bekerja sebagai penghantar barang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 November depan.