JMG kaji kawasan tanah runtuh Taman Melawati selamat atau tidak - Polis

Iklan
Keadaan tanah runtuh yang berlaku di Jalan E6 Taman Melawati pada Selasa. Foto Bernama

Iklan
Iklan

AMPANG - Polis sedang menunggu laporan selanjutnya dari Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia bagi menentukan sama ada kawasan kejadian tanah runtuh selamat atau sebaliknya.

Pada masa ini, langkah awal yang diambil adalah memindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna di AU2 Taman Keramat, di sini.

Iklan

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sebagai langkah selamat, pihak berkuasa memutuskan untuk memindahkan semua penduduk rumah teres di sekitar Jalan E6, Taman Melawati.

Mohd Azam ketika ditemui di lokasi kejadian.

"Pada masa ini kita tidak dapat mengulas lanjut sama ada masih berlaku pergerakan tanah atau tidak, namun segalanya akan diketahui selepas kita mendapat laporan berdasarkan kajian dari Jabatan Geologi dan Mineral.

Iklan

"Hasil kajian yang dijalankan juga nanti turut akan merumuskan sama ada kawasan ini selamat atau tidak," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada Selasa.

Mohd Azam berkata, pada masa ini pihaknya sudah mengenal pasti keluarga yang mendiami 16 daripada 20 unit rumah di Jalan E6.

"Kita sudah memaklumkan mereka mengenai arahan berpindah ke PPS di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 Taman Keramat manakala empat lagi unit kediaman didapati tidak berpenghuni.

"Mereka akan ditempatkan di PPS sehinggalah kawasan kediaman mereka di sini, disahkan benar-benar selamat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MPAJ sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan runtuhan.

"Kerja-kerja pembersihan ini dijangka selesai petang ini bagi membolehkan urusan keluar masuk terhadap penduduk-penduduk yang terjejas membawa keluar barang-barang penting milik mereka.

"Selain itu, Polis Daerah Ampang Jaya juga akan menempatkan pegawai dan anggotanya bagi mengawasi sekitar kawasan kediaman di Jalan E6 sepanjang proses pembersihan berlangsung.

Kejadian tanah runtuh berlaku pada jam 10.30 pagi tadi akibat hujan lebat berterusan sejak jam 9 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian ini.

Antara agensi keselamatan yang terlibat dalam adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JKR dan MPAJ.