Sindiket visa perubatan warga asing: EAIC tubuh Pasukan Petugas Khas

Iklan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung dengan sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing daripada beberapa buah negara.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung dengan sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing daripada beberapa buah negara.

Unit Komunikasi Korporat EAIC dalam kenyataan berkata, penubuhan pasukan khas ini selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Iklan
Iklan

Katanya, Pasukan Petugas Khas ini akan diketuai oleh Datuk Seri Dr Razali Ab Malik yang merupakan salah seorang Pesuruhjaya EAIC.

"Berdasarkan siasatan awal yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bil 9/2024 pada hari ini (Selasa), mesyuarat telah memutuskan untuk siasatan menyeluruh dijalankan terhadap aktiviti-aktiviti yang mencurigakan berkaitan sindiket tersebut berdasarkan dokumen-dokumen yang telah disita.

Iklan

"Tindakan ini diambil bagi memastikan perkhidmatan kemudahan visa perubatan kepada warga asing diluluskan dengan penuh integriti dan melindungi keselamatan negara," katanya pada Selasa.

Tambahnya, EAIC menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan siasatan di atas untuk menghubungi Pegawai Siasatan EAIC di talian 019-2325569.

Iklan

Sebelum ini, EAIC pada 8 Oktober memaklumkan telah hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dan melaksanakan penyitaan ke atas 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).

Sitaan tersebut dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan pegawai JIM yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur.

Sehubungan itu siasatan penuh sedang dijalankan ke atas aduan tersebut, selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].