KUALA SELANGOR - Kira-kira 70 penduduk di Kampung Baru Lembah Pantai, Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini sudah bersiap sedia menghadapi gelombang air pasang besar dijangka berlaku awal pagi Khamis ini.
Penduduk, Hashim Hitam, 80, berkata, sudah mula memindahkan perkakas, barangan elektrik, perabot dan semua dokumen penting di tempat lebih tinggi dan selamat.
Menurutnya, persiapan lebih awal dibuat bagi memastikan tiada kerosakan dan kerugian dialami akibat limpahan air laut yang masuk ke kediaman penduduk.
"Memang sengsara bila air laut melepasi benteng akibat ombak kuat dan keadaan lebih membimbangkan jika air pasang besar bertembung hujan dan angin kuat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Hashim yang menetap di kampung itu lebih 30 tahun lalu memberitahu, sebelum ini penduduk di kampung itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) awal Oktober lalu.
Katanya, air laut yang memasuki rumah menyebabkan pintu rumah rosak dan mereput hingga terpaksa diganti baharu.
"Saya membuat penghadang simen di hadapan rumah bagi mengelakkan air masuk ke dalam yang boleh menyebabkan kerosakan harta benda.
"Kalau dulu, benteng penahan ombak pantai ini kukuh dan jarang berlaku limpahan air, namun situasi itu tidak lagi berlaku sejak tiga atau empat tahun ini," jelasnya yang menetap hanya kira-kira 30 meter dari pesisir Pantai Sungai Kajang.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Riduan Ramali, 34, berkata, kawasan rumahnya itu berhampiran pantai dan berisiko terjejas teruk jika berlakunya fenomena air pasang besar.
Katanya, meskipun baharu dua bulan berpindah di kampung itu, namun terpaksa berdepan dengan risiko banjir.
"Kalau ikutkan memang penat kena bersihkan rumah selepas banjir, tetapi inilah yang terpaksa kami hadapi bila rumah berdekatan pantai," katanya.
Timbalan Komuniti Kampung Baru Lembah Pantai, A Rahim Etong berkata, kawasan kampung itu berisiko banjir berikutan terletak di kawasan rendah dan berhampiran pantai.
Menurutnya, kejadian terbaharu pada Oktober lalu membabitkan lapan rumah penduduk digenangi air akibat fenomena air pasang besar.
"Air pasang besar jika melebihi paras 5.8 meter menyebabkan air laut boleh melepasi ban dan benteng penahan ombak.
"Air seterusnya melimpah ke jalan dan rumah penduduk berhampiran, ia hanya surut apabila pintu kunci air dibuka selepas air pantai mula surut," ujarnya.
Katanya, penduduk berharap pihak berwajib dapat membina benteng pemecah ombak lebih tinggi bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
"Kita berharap kerja menaik taraf ban dan benteng sedia di pesisir pantai kampung ini dapat dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian banjir besar," jelasnya.