Tanah runtuh: Yusof Haslam belum rancang tinggalkan banglo enam tingkat miliknya

Iklan
Yusof Haslam (kanan) tidak merancang untuk meninggalkan mahligai enam tingkatnya di Taman Melewati itu biarpun berlaku kejadian tanah runtuh itu kira-kira 400 meter dari kediamannya.

AMPANG - Penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mengambil sikap kekal tenang biarpun berdepan dengan insiden tanah runtuh berhampiran rumahnya.

Ujar Yusof, 70, beliau tidak merancang untuk meninggalkan mahligai enam tingkat di Taman Melawati itu biarpun berlaku kejadian tanah runtuh kira-kira 400 meter dari kediamannya.

Iklan
Iklan

"Saya bukannya terlalu yakin tetapi saya serah kepada ALLAH SWT. Sejak menetap di sini 30 tahun lalu, saya tidak pernah berpindah sementara bila ada kejadian tanah runtuh.

"Lagipun ini bukan kejadian pertama yang berlaku berhampiran rumah saya dan saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi kalau berlaku juga, itu kuasa ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Yusof Haslam tidak merancang untuk meninggalkan mahligai enam tingkatnya di Taman Melewati itu biarpun berlaku kejadian tanah runtuh itu kira-kira 400 meter dari kediamannya.

Tambah Yusof, kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran rumahnya itu sudah boleh dijangka kerana sudah berlaku beberapa hakisan sebelum ini.

Justeru beliau berharap pihak berwajib mengambil tindakan yang lebih serius bagi memastikan runtuhan sama tidak berulang.

Iklan

"Saya sering juga melalui kawasan itu dan sebelum ini sudah nampak beberapa hakisan dan runtuhan kecil sejak beberapa bulan lepas.

"Memang nampak tanah ini akan runtuh bila hujan lebat sekiranya tidak berbuat berbuat sesuatu kerana air longkang mengalir di tepi itu dan menyebabkan hakisan.

"Harapnya ada tindakan sewajarnya supaya runtuhan itu tidak bertambah buruk selepas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan di sekitar kawasan rumahnya, figura yang terkenal menerusi karya Gerak Khas itu sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang masalah hakisan tanah.

Malah Yusof sendiri tidak berkira untuk mengeluar duit poket sendiri bagi membaiki masalah longkang pecah atau tersumbat di sekeliling rumahnya biarpun ia di bawah tanggungjawab majlis perbandaran.

"Sebelum menetap di sini, pernah ada kejadian tanah runtuh. Jadi saya sudah ambil langkah sewajarnya dengan mengupah jurutera, memasang tembok penahan tanah.

"Kalau longkang pecah atau tersumbat pun, saya upah orang untuk baiki, saya tidak tunggu majlis perbandaran sebab saya sedar mereka juga ada banyak kawasan lain yang boleh dipantau.

"Saya sendiri setiap minggu akan turun pantau kawasan rumah dengan pekerja saya. Memang makan perbelanjaan yang tinggi, tetapi kita perlukan utamakan aspek keselamatan dan saya jaga semua aspek itu.

"Cuma kalau berlaku juga, itu kuasa ALLAH SWT,” ujarnya.