113 projek perumahan swasta terbengkalai

Iklan
Aiman Athirah

KUALA LUMPUR - Sebanyak 113 projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan melibatkan 30,371 unit rumah dan 15,952 pembeli setakat 30 September tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tindakan boleh diambil berdasarkan peruntukan khusus di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Iklan
Iklan

Ujar beliau, menerusi akta tersebut dibawah Seksyen 11(1), menteri boleh mengambil tindakan jika pengawal perumahan berpendapat pemaju perumahan berlesen tidak dapat memenuhi obligasinya kepada pembeli rumah, menggantungkan pengendalian pembinaannya atau menjalankan perniagaannya dengan cara yang memudaratkan pembeli.

"Kedua, di bawah Seksyen 11(1)(ca) di mana menteri boleh mengesahkan sesuatu projek adalah terbengkalai apabila ia tidak disiapkan, di luar tempoh perjanjian luar beli atau tiada sebarang aktiviti ketara berlaku di tapak pembinaan selama enam bulan secara berterusan.

Iklan

"Dan Seksyen 12 di mana menteri boleh memberikan apa-apa arahan yang difikirkan patut dan sesuai bagi maksud memastikan pematuhan akta ini dan apa-apa arahan yang berkaitan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Aiman Athirah menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional (BN)- Tanjung Piai) berhubung bilangan terbaharu projek perumahan terbengkalai dan apakah bentuk tindakan tegas yang dikenakan terhadap pemaju berkenaan bagi mengelakkan siri projek terbengkalai ini kembali berulang pada masa akan datang.

Iklan

Menurut Aiman Athirah, KPKT sedang memperhalusi Akta 118 bagi memperkukuh tindakan kawalan lebih baik, pencegahan awal dan tindakan jangka masa panjang bagi mengelakkan lebih banyak projek perumahan swasta terbengkalai.

Ulasnya, antara pindaan yang akan dilaksanakan adalah menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi mana-mana pemaju dan ahli lembaga pengarah yang telah disenaraihitamkan.

"Maklumat pemaju dan pemajuan yang terlibat terbengkalai atau bermasalah juga akan dipaparkan di dalamSistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh) sebagai rujukan kepada pihak berkepentingan seperti pembeli dan pihak bank pembiaya.

"Setakat 30 September 2024, 14 projek swasta terbengkalai melibatkan 1,900 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM574.79 juta telah berjaya dipulihkan dan dilaksanakan melalui pemantauan Taskforce Projek Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST),” menurutnya.