KOTA BHARU - Pembantu kedai runcit dan pelayan kedai makan antara 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan pada Operasi Selera, Belanja dan Dandan di sini selama dua hari bermula Isnin.
Operasi dimulakan pada jam 9.00 malam itu melibatkan penahanan PATI terdiri daripada lelaki dan wanita yang berusia 19 hingga 51 tahun.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan) JIM Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi dilaksanakan dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan jabatan berkenaan.
"Bertindak atas hasil risikan, kami membuat pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar bandar Kota Bharu iaitu di beberapa premis di Pasir Tumboh, Binjai Banggu, Kubang Kerian dan Pintu Geng.
"Dalam Operasi ini, kami menahan satu lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan lima perempuan warga Thailand, tiga lelaki warga Pakistan, serta seorang lelaki warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.
Menurut beliau, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana antaranya disyaki melakukan kesalahan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
"Mereka juga disiasat kerana dipercayai melanggar Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.
"Selain dipercayai melakukan kesalahan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Tambah beliau, JIM Kelantan juga menggesa supaya orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” kata Nik Akhtarulhaq.