Sanusi harap ‘wish list’ Kedah tersenarai dalam Belanjawan 2025

Iklan
Sanusi (tengah) bersama sebahagian usahawan wanita Kedah yang menerima inisiatif Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berharap pembangunan Kampung Tersusun dan permohonan pampasan sebanyak RM200 juta setahun atas komitmen mengekalkan tanah sawah akan tersenarai dalam Belanjawan 2025.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia antara dua perkara utama dalam ‘wish list’ Kedah yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mei lepas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua perkara tersebut menjadi harapan Kedah untuk diberikan keutamaan untuk dilaksanakan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

"Kita sudah serahkan ‘wish list’ Kedah pada ketika itu. Kita harap ia dapat dipenuhi dalam Belanjawan kali ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon pada Selasa.

Iklan

Pada 4 Mei lepas, Sanusi menyerahkan ‘wish list’ Kedah kepada Anwar ketika mesyuarat khas pembangunan negeri bersama Perdana Menteri.

Anwar meluluskan serta merta peruntukan bagi membolehkan Kedah membina infrastruktur di Kampung Tersusun yang akan disediakan kerajaan negeri kepada penduduk miskin.

Iklan

Kerajaaan Persekutuan akan menyedikan kos untuk pembinaan infrastruktur seperti sistem perparitan dan jalan raya di 1,200 lot tanah bagi setiap daerah.

"DIfahamkan pembangunan Kampung Tersusun sekitar RM70 juta. Katanya yang ini akan cuba diselesaikan dahulu,” katanya.

Sanusi berkata, permohonan RM200 juta sebagai pampasan juga masih dalam kajian dan berharap tidak lagi tertangguh.

"Kedah kehilangan pendapatan untuk jaminan sekuriti makanan negara, kita tak bangunkan sawah padi dengan komersial atau perumahan. Kita simpan sebagai kawasan pengeluaran makanan jadi kita mohon RM200 juta.

"Sekiranya kita bangunkan kawasan yang telah termasuk dalam Rancangan Pembangunan Daerah (RPD) dianggarkan kita mampu kutip cukai tanah tambahan RM200 juta, jadi kita mohon ia dipertimbangkan oleh Persekutuan,” katanya.

Menurutnya lagi, diharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini oleh Perdana Menteri memberikan keceriaan kepada Kedah.

"Ini dua perkara utama yang diharapkan. Saya harap tak tangguh lagi. Kadang-kadang strategi orang pun, katanya akan kaji maksudnya tangguh lah. Saya harap tak berlaku lagi,” ujarnya.

Sanusi juga berharap pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) turut disenaraikan dalam belanjawan kali ini, selain peruntukan tambahan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) agar dapat segera disiapkan.

"Saya juga harap pembangunan takungan air bawah tanah yang dirancang di Langkawi turut tersenarai.

"Tanaman padi lima kali dua tahun juga perlu dimasukkan dalam belanjawan yang mana sebelum ini dijanjikan RM3 bilion dan dinaikkan kepada RM5 bilion. Mungkin boleh salurkan sebahagian daripada peruntukan tersebut, bukan sekaligus,” katanya.