Nahas pelajar UiTM: Suspek wanita tiada lesen memandu

Iklan
Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun Rabu lepas sehingga menyebabkan tiga daripada mereka maut, tidak memiliki lesen memandu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, setakat ini seramai 11 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Saksi yang dipanggil terdiri daripada mereka yang berada di lokasi dan menyaksikan kejadian itu berlaku serta ahli keluarga suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini pada Selasa.

Mohd Khairi berkata, pertuduhan ke atas wanita itu, yang telah dijalankan hari ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 (1) akta yang sama (cubaan membunuh), dibuat atas arahan Jabatan Peguam Negara.

Iklan

"Kebiasaannya apabila berlaku kejadian sebegini kita akan bawa pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 tetapi kali ini ia tidak sebegitu dan arahan Jabatan Peguam Negara ialah suspek hendaklah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sebab mengambil kira di tempat kejadian bahawa mungkin ada berlakunya rempuhan yang mana suspek mungkin dalam keadaan sedar tidak memberhentikan kenderaan dan telah mengheret mangsa sehingga melebihi 100 meter iaitu unsur-unsur untuk membunuh itu wujud,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu katanya, meskipun terdapat dakwaan mengatakan ibu kepada tiga anak itu sebelum ini selalu mengganggu pelajar dan penduduk di sekitar UiTM Dungun, namun polis tidak pernah menerima laporan atau aduan mengenai perkara itu.

Selain itu Mohd Khairi juga mengingatkan masyarakat termasuk netizen supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen berunsur negatif terhadap suspek memandangkan dia telah pun dituduh hari ini dan semua pihak perlu menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Terdahulu, Norizan Ismail, 49, dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Dungun dan Seksyen 307 (1) akta sama di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan dia telah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan dan pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Permai Johor Bahru.

Dalam kejadian pada 7.35 malam, Rabu lepas di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun, suri rumah berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) disyaki telah merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.

Tiga yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Seorang lagi mangsa yang cedera, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, juga merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. - Bernama