Warga emas maut putus kaki kiri, motosikal terbabas

Iklan
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kirinya terputus selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 12.4 Jalan Permas-Pasir Gudang di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan kira-kira jam 7.55 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan kenderaan lain.

"Hasil siasatan mendapati warga emas tersebut yang berusia 73 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S telah hilang kawalan.

Iklan

"Motosikal tersebut terbabas sebelum melanggar penghadang sebelah kiri bahu jalan berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, lelaki tersebut mengalami cedera parah dengan putus kaki kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta supaya tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk memberi keterangan.

"Mereka juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek menerusi talian 014-6977122," ujarnya.