Fenomena garis badai punca banjir di KL - MetMalaysia

Iklan
Beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak kira-kira 9 pagi tadi. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Banjir kilat di sekitar ibu negara pagi ini berpunca daripada pergerakan garis badai yang membawa bersama ribut petir dan hujan lebat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan cuaca dan analisis imej radar menunjukkan garis badai ribut petir terbentuk di Selat Melaka awal pagi tadi dan mula bergerak memasuki Selangor pada 7 pagi.

Iklan
Iklan

"Keamatan garis badai semakin meningkat dan bergerak ke Kuala Lumpur pada 8.30 pagi.

"Berdasarkan taburan hujan di Lembah Klang bagi tempoh 8 hingga 11 pagi hari ini, taburan hujan paling tinggi direkodkan adalah antara 9 hingga 10 pagi," menurut kenyataan itu.

Iklan

MetMalaysia memaklumkan dalam tempoh 9 pagi hingga 10 pagi, stesen meteorologi di Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong merekodkan jumlah hujan 53.5 mililiter (mm), Empangan Klang Gate (51.7 mm) dan di Parlimen Malaysia (47.3 mm).

MetMalaysia memaklumkan amaran yang menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di Lembah Klang dikeluarkan seawal 6.30 pagi dan dikemas kini pada 8.50 pagi melibatkan Kuala Lumpur.

Iklan

"Amaran cuaca MetMalaysia sentiasa dikemas kini dan disebarkan menerusi pelbagai medium seperti laman web, laman sosial Facebook, Instagram dan X serta khidmat pesanan ringkas (SMS)," kata kenyataan itu.

Pagi tadi, beberapa kawasan dan jalan raya utama di sekitar Kuala Lumpur dinaiki air ekoran limpahan sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak akibat hujan lebat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen di Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers dan Jalan Damansara di bawah jejambat Semantan.

Air turut naik di Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang berhadapan Shell dan Universiti Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan.

Kejadian tanah runtuh turut berlaku di Taman Melawati, Ampang yang menyebabkan 20 rumah teres terputus hubungan dengan laluan utama. - Bernama