RANAU - Seorang wanita warga emas dan cucunya melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah di Kampung Kantas Baru, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, nenek berusia 60 tahun dan cucu perempuannya yang berusia satu tahun segera dikejarkan ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari.
Katanya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Ranau.
"Dalam kejadian itu, sebuah rumah jenis tidak kekal bersama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Kembara dan dua motosikal terbakar sepenuhnya.
"Turut dilaporkan terdapat dua mangsa iaitu seorang wanita dan cucunya melecur di bahagian kaki.
"Namun kedua-duanya telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air terbuka dari kolam berhampiran.
"Api berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada jam 4.12 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut," katanya.