Puluhan ahli parlimen UK desak kerajaan UK henti eksport ketenteraan ke Israel

Iklan
Hampir 50 ahli parlimen Britain mengalu-alukan resolusi PBB pada 18 September yang menyeru Israel agar segera menamatkan kehadirannya yang tidak sah di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan mendesak kerajaan negara itu menghentikan semua eksport ketenteraan ke Israel. Foto AFP

LONDON - Hampir 50 ahli parlimen Britain mengalu-alukan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 September yang menyeru Israel agar segera menamatkan kehadirannya yang tidak sah di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan mendesak kerajaan negara itu menghentikan semua eksport ketenteraan ke Israel, lapor Agensi Anadolu.

Dalam usul awal yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bebas Richard Burgeon, Imran Hussain, Zarah Sultana, serta Ahli Parlimen Parti Buruh Andy McDonald, Diane Abbott dan Bell Riberio-Addy, mereka berkata penerimaan resolusi PBB itu mengenakan kewajipan baharu kepada kerajaan.

Iklan
Iklan

"...dan menyeru Kerajaan untuk bertindak menyokong resolusi PBB dan pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), termasuk dengan menghentikan semua eksport ketenteraan ke Israel, melarang import barangan dari penempatan haram Israel dan membatalkan Pelan Hala Tuju 2030 yang memperdalam hubungan ekonomi, perdagangan dan keselamatan UK dengan Israel."

Ahli parlimen itu turut menyambut baik seruan resolusi PBB kepada negara-negara untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dan mengambil langkah konkrit untuk menangani kehadiran haram Israel di OPT.

Iklan

Setakat pagi Selasa, usul itu telah ditandatangani oleh 47 ahli parlimen daripada Parti Buruh, Parti Demokratik Sosial & Buruh, Parti Liberal Demokrat, Parti Hijau, Parti Kebangsaan Scotland, Plaid Cymru, dan Parti Alliance, serta 12 Ahli Parlimen Bebas.

"Ketika kekejaman di Gaza dan Tebing Barat berterusan, Kerajaan UK mesti menyokong PBB pada saat penting ini," tulis Hussain, seorang daripada enam ahli parlimen yang membawa usul itu, di X. - Bernama-Anadolu

Iklan