SETIAP kali pada hujung tahun ramai tidak senang duduk terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai kerana lazimnya ketika ini negara menghadapi bencana banjir.
Terkini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca ribut petir di kebanyakan tempat terutama Lembah Klang, Utara dan Pantai Timur sehingga Sabtu depan.
Ramalan itu berlaku pada waktu pagi dan petang, manakala malam dijangka tiada hujan.
Menerusi kemas kini di laman web jabatan itu, cuaca cerah hanya akan berlaku pada Ahad dan Isnin dengan maksimum suhu 33 darjah Celsius (°C) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka, manakala negeri lain dijangka hujan bermula pagi hingga malam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pihaknya menjangkakan berlaku pembentukan fenomena garis badai di Barat Semenanjung, Utara Sarawak dan Barat Sabah yang membawa hujan lebat serta ribut petir dalam minggu ini.
Menurutnya, keadaan itu berlaku kesan daripada peralihan Monsun Timur Laut yang dijadual bermula awal November ini.
Justeru, masyarakat perlu berwaspada dan dinasihatkan sentiasa bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh selain sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
Antara persediaan yang boleh dilakukan adalah sentiasa cakna mengenai maklumat tentang banjir, sediakan bekalan makanan dan tahu cara bertindak semasa kecemasan serta tidak panik.
Perkara paling penting, jangan bermain atau redah banjir sebaliknya menunggu bantuan atau air surut.
Walaupun merasakan sudah terbiasa dengan air banjir memandangkan saban tahun menghadapi situasi tersebut namun sebarang kecuaian boleh mengundang bahaya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Malaysia menekankan penggunaan teknologi terkini seperti Sistem Ramalan Cuaca Berangka (NWP) bagi membolehkan amaran awal dan persediaan rapi dibuat dalam menghadapi bencana alam.
Katanya, menerusi NWP, amaran boleh dikeluarkan sehingga tujuh hari lebih awal.