Penduduk rayu atasi segera 'kawah gergasi'

Iklan
Suhaimi menunjukkan 'kawah gergasi' yang berlaku. Gambar kecil: Shukor

HUJAN lebat berpanjangan sejak akhir-akhir ini menyebabkan penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana, Jasin, dibelenggu kebimbangan tanah runtuh terutama yang mendiami kawasan berhampiran cerun.

Apa Khabar Rakyat kali ini menyelami kegusaran penghuni yang berdepan ancaman itu sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Wartawan Sinar Harian, NOR FARHANA YAACOB menyingkap permasalahan dihadapi komuniti setempat sejak bermastautin di kawasan tersebut.

Kejadian cerun runtuh akibat hujan lebat bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, malah turut mampu mengancam nyawa sekiranya langkah sewajarnya tidak diambil pihak berkuasa.

Iklan

Penduduk yang juga pesara tentera, Shukor Abd Jali, 60, mengakui hidup dalam keresahan susulan ancaman runtuhan tanah cerun hingga membentuk 'kawah gergasi' sedalam kira-kira 10 meter.

Katanya, kedudukan rumahnya paling hampir dengan lokasi runtuhan menyebabkannya sukar melelapkan mata setiap kali hujan lebat.

Iklan

Menurutnya, berbanding penduduk lain, kedudukan rumahnya termasuk penduduk menetap di Jalan 8 amat terkesan dan berisiko memandangkan jarak runtuhan dengan kediaman hanya kurang 10 meter.

"Runtuhan kecil berlaku sejak 2022 dan laporan dipanjangkan kepada pihak berkaitan sehinggalah runtuhan ini merebak membentuk seakan kawah.

"Apabila keadaan semakin kritikal, pihak berkaitan tampil dengan memasang saliran baharu pada awal pada tahun lalu, namun saiz paip digunakan agak kecil dan tidak mampu menampung jumlah air ketika hujan lebat,” katanya.

Ujarnya, sebagai penduduk yang mendiami taman perumahan itu sejak mula dibuka, dia berharap tindakan segera menghentikan runtuhan dapat dibuat pihak berwajib.

"Setiap kali berlaku hujan lebat tanpa henti, pasti ada runtuhan dan jadinya kami berharap tindakan penyelesaian segera dapat dibuat.

"Jika tindakan awal diambil, ia tidak akan menjadi teruk sebegini hingga memerlukan peruntukan jutaan ringgit dan diharap tindakan mengikut fasa dapat dilakukan sementara pihak berkaitan menerima kelulusan peruntukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lipat Kajang Perdana, Suhaimi Ahmad berkata, isu melanda penduduk sudah disalurkan kepada pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, dalam tempoh tujuh bulan, runtuhan merebak dan bertambah lebih 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan hampir 3,000 meter persegi.

"Sekarang apabila hujan lebat dalam tempoh masa yang lama, kami bimbang ada kawasan dinaiki air.

"Harap kerja baik pulih dapat dilakukan segera,” katanya.

Ujarnya, hampir 10 aduan dibuat berhubung kejadian itu termasuklah dari pihak Pusat Koreksional Jasin tetapi alasan diberikan 'sedang menunggu peruntukan'

KERAJAAN NEGERI AMBIL MAKLUM ISU 'KAWAH GERGASI'

Insiden runtuhan tanah di Taman Lipat Kajang Perdana akan diberikan perhatian segera supaya masalah 'kawah gergasi' tidak terus menghantui penduduk.

Mohd Shaiful

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mohd Shaiful Hiszam Johan berkata, pihaknya sudah menerima peruntukan dari Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan kerja membaik pulih.

"Kontraktor dilantik MPJ sedang melantik konsultan untuk menguji tahap cerun dan juga mereka bentuk cerun.

"Ini bagi menstabilkan cerun runtuh dan kerja dijangka dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Rais

Sementara itu, Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, dianggarkan kira-kira RM2.3 juta peruntukan diperlukan bagi kerja membaik pulih runtuhan.

Menurutnya, ini kerana runtuhan itu dikategorikan sebagai teruk dan mengundang bahaya kepada penduduk berikutan sudah berlarutan sejak 2022 sehingga terbentuknya kawah besar akibat daripada pengaliran air hujan dan hakisan tanah.

"Saya berharap penduduk dapat bersabar sedikit masa lagi dan kami akan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan isu ini dapat diatasi dalam kadar segera,” katanya.