SETIAP golongan pekerja di negara ini wajib diberikan cuti sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu kerana ia termaktub dalam Akta Kerja 1955.
Malah jika pekerja diarah oleh majikan untuk bekerja pada hari cuti, maka bayaran tambahan perlu dibuat kepada pekerja tersebut atau tindakan undang-undang boleh dikenakan andai ia gagal dipatuhi.
Tidak dinyatakan pula cuti yang diwajibkan itu hari apa kerana setiap sektor pekerjaan mempunyai masa bekerja berbeza malahan ada dalam kalangan mereka bekerja pada hari minggu.
Apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan pertukaran cuti hujung minggu dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad, ia tidak seharusnya menjadi polemik mahu pun isu politik kerana bukan semua orang dapat bercuti pada hujung minggu.
Orang yang terlibat dalam perniagaan sudah pastinya tidak mengambil kira cuti hujung minggu kerana ketika itulah kedai atau restoran mereka jadi tumpuan orang ramai malah cuti mingguan mereka mungkin hanya sehari.
Bagi anggota keselamatan pula, mereka juga tiada istilah cuti hujung minggu kerana perlu sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kejadian kecemasan atau tragedi yang berlaku pada bila-bila masa.
Lihat sahaja bencana banjir yang berlaku ketika ini memaksa anggota yang bercuti juga dipanggil bertugas kerana kekurangan anggota malahan setiap kali persiapan menghadapi bencana, cuti mereka pun terpaksa dibekukan.
Begitu juga pendakwah atau guru takmir, jadual kuliah mereka di masjid dan surau hampir setiap hari sama ada selepas waktu maghrib atau selepas subuh ditambah pula kuliah duha pada cuti hujung minggu.
Golongan yang paling tidak dapat cuti ialah suri rumah kerana kerja mereka tidak pernah habis daripada mengemas rumah, memasak, menguruskan keluarga sehingga adakala terpaksa menjadi guru bagi semua subjek anak-anaknya.
Eloklah kiranya dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, golongan suri rumah tidak dipinggirkan bagi menghargai pengorbanan mereka untuk keluarga masing-masing.
Sebenarnya kita lebih memerlukan waktu rehat berbanding cuti hujung minggu kerana ada orang yang tetap mencari rezeki tambahan ketika cuti sama ada menjadi penghantar makanan atau bekerja sambilan dalam sektor perkhidmatan.
Rehat yang cukup amat penting bagi meningkatkan produktiviti kerja selain memastikan fizikal dan mental seorang individu kekal cergas untuk bekerja tanpa sebarang tekanan.
Tidak kira sektor pekerjaan mana sekalipun, tekanan disebabkan kerja boleh menyebabkan seseorang itu burnout yang seterusnya boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental lain jika tidak ditangani sebaiknya.
Jadi tidak hairanlah tema Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini memilih tema ‘Masanya untuk Mengutamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja’.
Masalah psikososial antara isu kesihatan mental di tempat kerja yang merujuk kepada gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental pekerja yang disebabkan oleh gangguan sosial di tempat kerja.
Masalah psikososial ini antaranya disebabkan beban kerja yang terlampau sehingga menyebabkan pekerja tidak cukup rehat, tidak ada masa untuk diri sendiri dan keluarga serta tidak ada keseimbangan antara kerja dan kehidupan seharian.
Menurut Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin, isu psikososial penting kerana masalah kesihatan mental yang membebani sebahagian masyarakat dipercayai antara penyumbang kedudukan Malaysia dalam senarai Laporan Kegembiraan Dunia 2024.
Apa yang pasti, Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat ini akan menjadi tumpuan rakyat untuk mengetahui apa mereka dapat.Berilah khabar gembira kepada golongan yang bertungkus-lumus membanting tulang untuk keluarga dan negara tanpa mengira hari cuti mahupun waktu bekerja agar waktu rehat mereka dapat diganti dengan sesuatu yang lebih bernilai.
* Saifullah Ahmad ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak