Guna Orang Asli kaut hasil hutan, buru hidupan liar

Iklan
Pihak berkuasa mengesan taktik digunakan kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi masyarakat Orang Asli bagi mengaut hasil hutan dan memburu hidupan liar. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Sharena)

HULU TERENGGANU - Pihak berkuasa mengesan taktik digunakan kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi masyarakat Orang Asli bagi mengaut hasil hutan dan memburu hidupan liar.

Penguasa Taman Negara Terengganu, Sharena Sapri berkata, selain itu, terdapat juga individu yang menyamar sebagai pelancong untuk mengaburi mata pihak berkuasa namun dalam masa yang sama bertindak memasuki dan menceroboh kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengesan enam kes pencerobohan di Taman Negara Terengganu melibatkan warga asing dan tempatan yang direkodkan dalam tempoh enam tahun bermula 2019.

"Setakat ini, seramai 13 individu telah ditahan termasuk warga Kemboja dan Vietnam yang dikesan terlibat dalam kegiatan tersebut.

Iklan

"Kes terbaharu melibatkan seorang warga Kemboja berusia 60 tahun pada awal tahun ini yang telah didakwa di mahkamah dan dipenjara selama empat tahun di bawah Enakmen Taman Negara Terengganu 1939," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Negara Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat lapan tangkapan yang dilakukan melibatkan warga asing manakala lima kes lagi membabitkan warga tempatan.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga mengesyaki wujud penglibatan orang tempatan yang membawa masuk penceroboh dan membekalkan makanan buat mereka.

"Untuk kes terbaharu yang melibatkan pencerobohan oleh warga Kemboja itu, kita percaya mereka menjalankan kegiatan itu selama sebulan di Taman Negara dan terbongkar melalui hasil risikan dan maklumat yang kita perolehi.

"Berkemungkinan besar juga warga asing tersebut masuk ke negara ini sebagai pelancong dan menceroboh taman negara untuk memburu hidupan liar selain ingin mendapatkan kayu gaharu yang bernilai tinggi di pasaran," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sherina berkata, pihaknya turut mengesyaki terdapat tali barut orang tempatan yang membawa masuk penceroboh dan menjadi orang tengah dengan membekalkan makanan kepada warga asing tersebut.

"Kami akan menjalankan siasatan serta pemantauan lanjut untuk mengekang aktiviti yang merugikan negara.

"Mana-mana yang terlibat dengan kegiatan tersebut yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000 dan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan sebatan mengikut Enakmen Taman Negara Terengganu 1939,"katanya.

Seramai 18 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan bantuan 42 renjer komuniti menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan di Taman Negara Terengganu yang berkeluasan 1,030.8 kilometer persegi.