BETAPA pentingnya seorang ibu menyusukan anak kerana perkataan Radha'ah atau penyusuan ibu disebut sebanyak 11 kali dalam al-Quran. Ia merupakan amanah ALLAH kepada si ibu dalam membesarkan zuriatnya.
Demikian kata Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pada sesi perkongsian Meja Bulat Kajian Tentang Penyusuan Susu Ibu Berlandaskan al-Quran bertemakan The Golden Mercy di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Arba, Azlan Shah Nabees Khan dan wakil RSG Medicare yang juga Sahabah Quran, Dr Mohd Asyakir Shamsuddin.
ALLAH SWT berfirman: "Ingatlah pada hari ketika kamu melihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lupa terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab ALLAH itu sangat pedih.” (Surah al-Hajj, ayat 2)
Bertadabbur daripada ayat al-Quran tersebut memerihalkan tentang ibu yang sedang hamil dan menyusukan anak. Cabaran pada akhir zaman, ada segelintir wanita yang tidak kisah tentang menyusukan anak sedangkan proses berkenaan dapat menyambung generasi dan mengeratkan hubungan antara ibu dan anak, ujar Fazrul.
"ALLAH SWT memberi panduan kepada suami untuk memberi nafkah kepada isteri agar boleh fokus terhadap penyusuan anaknya. Jika tidak mampu, boleh memberi upah kepada ibu susuan anaknya seperti disebut dalam Surah al-Talaq, ayat 65.
"Dalam Surah an-Nisa’, ayat 23 pula menjelaskan pengharaman mengahwini ibu susuan dan saudara susuan. Ini bermakna, penyusuan tersebut dapat meluaskan hubungan kekeluargaan. Ayat 2 dan 3 dalam Surah al-Talaq menyebut, sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH akan diberi jalan keluar dan diberi rezeki yang tidak terlintas di hatinya,” katanya berkongsi ilmu.
Tambah Fazrul, dalam tempoh dua tahun si ibu menyusukan anak, ia memerlukan ketakwaan yang tinggi selain beribadah kepada ALLAH.
"Si bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada ibu dan anak. Jika tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan oleh ibu bapa, maka lahirlah anak yang cemerlang, berbudi dan penyayang," jelas beliau.
Sementara itu, Timbalan Canselor Akademik dan Profesor Pediatrik, International Medical University, Prof Dr Zabidi Hussin dalam pembentangannya bertajuk 'Pembentukan Personaliti melalui Penyusuan Susu Ibu' berkata, sentuhan halus, deria bau, penglihatan dan pendengaran mampu membina emosi dan kasih sayang anak melalui penyusuan ibu.
"Ketika sesi penyusuan ibu, ia akan 'menyalakan' semua saraf emosi anak. Pada masa sama, aktiviti otak di bahagian hadapan anak sedang rancak. IQ (Nilai Kecerdasan) anak yang mendapat susuan ibu lebih tinggi daripada anak yang tidak disusukan,” katanya.