PERSATUAN Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) merancang untuk menganjurkan pertandingan reka cipta logo baharu pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) bagi kegunaan musim seterusnya.
Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata, ini kerana beliau mahu KL City kembali dengan gelaran"The Hawks” yang dilihat menggambarkan kekuatan dan ketangkasan pasukan.
"...maknanya tahun ini kita akan adakan pertandingan (dan) tahun depan jersi baharu KL City akan ada logo yang baru. Macam tahun ini kita tak boleh tukar di atas jersi.
"(Berkenaan maklumat lanjut tentang cara pertandingan dijalankan) kita belum mesyuarat lagi bila kita nak adakan pertandingan itu tapi saya akan maklumkan kepada kelab nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Melayu Kuala Lumpur sempena Pertandingan Piala Emas Raja-Raja, malam tadi.
Beliau berkata, usaha itu antara inisiatif penjenamaan semula di bawah kepimpinan ahli jawatankuasa induk baharu yang dilantik Sabtu lepas.
Syed Yazid dipilih untuk menerajui KLFA sebagai presiden pada Kongres ke-35 bagi sesi 2024-2028 manakala dua jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Datuk Kamarudin Hassan dan Datuk Sri Wong Yeon Chai.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, Pertandingan Piala Emas Raja-Raja merupakan platform terbaik bagi pemain mengeluarkan semua kepakaran dimiliki mereka sekiranya mahu dipilih beraksi dalam Piala Nusantara pada Disember ini di Melaka.
"Sasaran pasukan menyertai pertandingan ini adalah seperti Melayu Singapura, Melayu Brunei, Melayu Thailand, Melayu Filipina selain Malaysia. Itu antara (yang) kita gabungkan dalam Nusantara itu sendiri.
"Kemungkinan pasukan macam Sri Lanka (dan Afrika) sebab dia pun ada Melayu tetapi kita lebih melihat kepada rantau ASEAN itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata usaha untuk menghidupkan semula Piala Nusantara adalah bagi meneruskan legasi Piala Marahalim yang diadakan pada sekitar era 70-an di Medan, Indonesia.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kuala Lumpur Datuk Ramlan Askolani menyasarkan anak buahnya muncul juara pada edisi Piala Emas Raja-Raja kali setelah sebelum ini berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dan akhir. - Bernama