SHAH ALAM - Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu menghasilkan impak positif kepada semua sektor dan lapisan masyarakat.
Malah belanjawan yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' itu dilihat berjaya memberi perubahan positif terutama dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat pada masa ini.
Mengakui menjadi antara penerima manfaat peruntukan di bawah skim Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Nur Ain Fatima Zainal Azeman, 29, berkata, bantuan tersebut membantunya untuk memulakan pekerjaan.
"Sumbangan tunai itu saya gunakan untuk perbelanjaan memulakan pekerjaan, dari segi kos pengangkutan dan perjalanan.
"Sedikit sebanyak dapat menampung beban yang ditanggung kerana sebelum ini hanya bergantung kepada duit poket yang diberikan oleh adik-beradik lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebagai rekod kerajaan telah menambah peruntukan STR kepada RM10 bilion tahun ini berbanding RM8 bilion tahun selain memperkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Mulai tahun ini, sebahagian penerima STR akan turut menerima SARA dengan dua kategori baharu diperkenalkan iaitu isi rumah miskin dan miskin tegar di bawah data e-Kasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebagai contoh, kategori ini layak menerima RM100 sebulan selama 12 bulan bermula Januari 2024 serta juga layak mendapat STR hingga RM2,500 (bergantung kepada bilangan anak).
Peruntukan tersebut telah memanfaatkan seramai sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia dengan kadar maksimum STR meningkat kepada RM3,700.
Selain itu kadar minimum STR untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.
Saluran tepat, adil buat semua golongan
Selain bantuan tunai kepada golongan sasar, kerajaan juga dilihat prihatin dengan golongan rentan apabila turut memperkenalkan subsidi bersasar.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berpandangan, inisiatif tersebut sekali gus mengurangkan beban kewangan rakyat terutama mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), serta meningkatkan kuasa beli golongan berkenaan.
Malah menurutnya, ketika ini rakyat memerlukan wang tunai untuk berbelanja dan pengagihan inklusif memperlihatkan kerajaan mengamalkan keadilan sosial.
"Keadaan ini dapat dilihat melalui pengagihan yang lebih inklusif kepada golongan rentan, B40 dan M40.
"Selain itu juga, ia membantu dalam pembangunan ekonomi lebih mampan terutama apabila golongan PKS turut dapat insentif digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.
Payung Rahmah teduhan rakyat
Dalam kerangka Ekonomi Madani, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah dengan memperuntukkan sejumlah bernilai RM200 juta yang mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Perpaduan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.
Bagi seorang suri rumah, Suhaida Abd Wahab, 40, program jualan barang keperluan pada harga lebih rendah mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
"Keluarga saya antara yang mendapat manfaat secara langsung dengan program jualan Rahmah dan sudah pasti membantu dalam mengurangkan beban kewangan.
"Oleh itu saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meneruskan program di bawah inisiatif Payung Rahmah ini pada tahun hadapan,” katanya.
Kekalkan subsidi pengangkutan awam
Selain menyediakan bantuan tunai, kerajaan turut mengambil kira keperluan lain yang menjadi pilihan rakyat.
Justeru menerusi Belanjawan 2024, pengguna pengangkutan awam terutama penduduk Lembah Klang menikmati perkhidmatan bas dan rel di bawah kendalian Prasarana pada harga mampu milik menerusi pas perjalanan tanpa had My50.
Bagi Syafikha Mohamad, 38, inisiatif tersebut memberi kelegaan kepada orang ramai terutama yang menggunakan kenderaan awam untuk ke tempat kerja.
"Selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, inisiatif ini secara tidak langsung menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.
"Oleh itu saya berharap pas tanpa had My50 dapat diteruskan pada belanjawan tahun hadapan supaya lebih ramai mendapat manfaatnya,” ujarnya.
Sebagai rekod, kerajaan telah meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Pengekalan stesen-stesen ini melengkapi dan memperkasa jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang dengan memanfaatkan dua juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.