KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu 'Kutty' di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, ditangguhkan selepas bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru.
Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 99 tahun itu mendapatkan rawatan di IJN pada petang Selasa dan diberi cuti sakit selama 12 hari sehingga Khamis minggu hadapan.
"Anak guam dimasukkan ke IJN kerana mengalami jangkitan LRTI iaitu ‘lower respiratory tract infection’.
"Kami memohon perbicaraan pada hari ini dan esok dilapangkan,” kata peguam itu.
Susulan itu, perbicaraan kes yang dijadualkan berlangsung selama dua hari dilapangkan dan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong menetapkan perbicaraan bersambung pada 29, 30 Oktober serta 5, 6 dan 9 Disember depan.
Pada prosiding akan datang, mahkamah akan mendengar keterangan Dr Mahathir diikuti anaknya, Datuk Seri Mukhriz kemudian, Ahmad Zahid.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.
Dr Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.