[VIDEO] Longkang tersumbat atas bukit punca tanah runtuh di Taman Melawati - MB

Iklan

AMPANG - Longkang tersumbat di bahagian atas bukit di Jalan G2, Taman Melawati di sini, dikenal pasti punca berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan E6 pada pagi Selasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, limpahan air dari longkang yang dipenuhi dengan batu dan tanah menyebabkan berlaku gelinciran tanah hingga menyebabkan tanah runtuh di Jalan E6.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, limpahan air dari longkang yang tidak diselenggara itu bukan hanya terjadi pada Selasa, sebaliknya telah berlaku sejak beberapa hari lalu.

"Benar, terdapatnya longkang yang tersumbat oleh batu dan tanah hingga menyebabkan berlakunya limpahan sejak beberapa hari lalu.

Iklan

"Namun semalam (Selasa) dijangkakan amat luar biasa disebabkan hujan lebat dalam tempoh yang panjang," katanya pada sidang akhbar di sekitar lokasi kejadian pada Rabu.

Amirudin berkata, kawasan longkang di bahagian atas bukit masih lagi di bawah kawal selia pihak pemaju atau pemilik tanah pada masa ini.

Iklan
Amirudin melihat gambar dan pelan kejadian kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati. Foto Bernama

Jelas beliau, pihaknya sudah mengeluarkan notis supaya pihak terbabit dapat melakukan penyelenggaraan dan mengemaskini tanah serta laluan di atas bukit.

Menurutnya, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga sudah mengarahkan kepada pemaju dan pemilik tanah untuk tidak melakukan sebarang kerja-kerja pengubahsuaian atau pembinaan sehingga laporan penuh siasatan dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung kejadian tanah runtuh tersebut.

"Berdasarkan siasatan kita, tiada sebarang kerja-kerja pembangunan sedang dilaksanakan di atas bukit yang menyebabkan gelongsoran tanah.

"Bagaimanapun terdapatnya kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh pemilik tanah yang membeli lot tanah dari pemaju dan perkara itu juga sedang disemak," katanya.

Kawasan atas bukit berkenaan dimiliki oleh pemaju yang kemudian menjual puluhan lot tanah kepada pembeli yang berminat untuk mendirikan kediaman.

Amirudin berkata, beliau menerusi MPAJ juga sudah mengarahkan pemaju untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap longkang, laluan serta persekitaran atas bukit berkenaan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa kawasan itu turut menjadi tumpuan untuk penduduk sekitar melakukan aktiviti riadah dan joging.

"Kita menutup tempat ini untuk sementara waktu sehinggalah JMG dapat merumuskan bahawa kawasan ini benar-benar selamat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjangkakan kesemua penduduk yang mendiami tujuh daripada 20 unit kediaman di Jalan E6, boleh kembali ke kediaman mereka antara dua hingga tiga hari lagi.

"Kita jangkakan mereka akan kembali tidak lama lagi selepas keadaan di sini benar-benar disahkan selamat.

"Kita sudah memasang kanvas dan akan membina tembok penghadang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.