Mangsa banjir meningkat di beberapa negeri pagi ini

Iklan
Pemandu memperlahankan kenderaan ketika melalui Jalan Mentakab-Lanchang yang dinaiki air akibat banjir ketika tinjauan hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Situasi banjir yang melanda beberapa negeri menunjukkan peningkatan jumlah mangsa setakat 10 pagi ini dengan 4,423 orang berlindung di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 4,147 orang malam tadi.

Di Kedah, laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 1,477 mangsa dari empat daerah iaitu Baling, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena ditempatkan di 11 PPS berbanding 1,285 orang malam tadi.

Iklan
Iklan

Menurut laman web rasmi Public Info Banjir, paras air di Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Taman Aman di Kota Setar melebihi tahap bahaya, masing-masing 1.91 meter (m) dan 2.99 m.

Di Melaka, jumlah mangsa di Jasin turut meningkat kepada 197 orang berbanding 187 orang malam tadi yang dipindahkan ke tiga PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob.

Iklan

Paras air di Sungai Kesang, Jasin dilapor melebihi tahap waspada iaitu 5.01 m.

Di Perak, jumlah mangsa pula meningkat kepada 1,114 orang berbanding 1,031 orang malam tadi melibatkan penduduk dari lima daerah iaitu Perak Tengah, Kerian, Kuala Kangsar, Muallim serta Hilir Perak di lapan PPS.

Iklan

Tiga sungai di negeri itu melebihi tahap bahaya iaitu di Sungai Rui dan Sungai Perak di Hulu Perak masing-masing mencatatkan ketinggian 165.98 m dan 112.01 m manakala Sungai Bidor di Hilir Perak pula 3.73 m.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Temerloh juga meningkat kepada 1,552 yang sedang berlindung di sembilan PPS berbanding 1,481 di tujuh PPS malam tadi dan paras air di Sungai Semantan di daerah itu dilaporkan melebihi tahap amaran iaitu 36.18 m.

Di Johor, mangsa banjir di daerah Batu Pahat meningkat sedikit kepada 17 orang berbanding 15 orang yang berlindung di PPS SK Seri Bunut malam tadi.

Empat sungai di Batu Pahat iaitu Sungai Lenik, Sungai Simpang Kanan, Sungai Sembrong dan Empangan Sembrong juga mencatatkan paras air melebihi tahap amaran.

Di Selangor, Hulu Selangor dan Hulu Langat menunjukkan peningkatan mangsa daripada 46 orang kepada 66 orang yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Alah Batu dan SK Sungai Serai.

Paras air di Sungai Bernam di daerah Hulu Selangor turut melebihi tahap bahaya iaitu setinggi 27.68 m. - Bernama