Remaja OKU hilang kali kedua, tinggal nota kepada ibu saudara

Iklan
Rafik Haris Lu Abdul Raafee yang hilang sejak pada 12 Oktober lalu.

KUANTAN - Polis memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dan meninggalkan sekeping nota kepada ibu saudaranya mengatakan dia keluar mencari kerja.

Remaja terbabit, Rafik Harris Lu Abdul Raafee, 16, mengalami masalah pembelajaran dan masih bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu pada 12 Oktober lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan, remaja itu ada meninggalkan nota kepada ibu saudaranya memaklumkan dia keluar rumah untuk mencari kerja dan akan pulang pada malamnya.

Iklan

"Bimbang keselamatan remaja terbabit, pihak keluarga membuat laporan polis selepas remaja itu gagal pulang ke rumah.

"Pakaian terakhir dipakai sebelum dia hilang kemeja-T dan seluar sukan hitam, jam tangan berwarna hitam keemasan dan berselipar kelabu," katanya.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal polis mendapati remaja itu pernah dilaporkan hilang pada 1 Oktober lalu sebelum ditemui semula dua hari kemudian di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, mangsa tinggal bersama ibu saudara selepas kedua ibu bapanya berpisah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan remaja itu diminta berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan," katanya.