MTL: Pendaratan ikan berkurangan, DOF pastikan bekalan stabil di seluruh negara

Iklan
Pembeli dinasihatkan berbelanja secara bijak dan tidak menyimpan stok secara berlebihan - Gambar hiasan 123RF

PUTRAJAYA - Jabatan Perikanan (DOF) mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kestabilan bekalan ikan di seluruh negara memandangkan pendaratan ikan dijangka berkurangan ekoran fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, DOF bekerja rapat dengan pihak-pihak berkepentingan untuk memantau dan mengawal selia pengeluaran serta pengedaran ikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendaratan ikan dijangka berkurangan pada Disember ini (91,957 tan metrik) dan Januari 2025 (88,026 tan metrik), sebelum bekalan kembali meningkat pada Februari 2025 (93,845 tan metrik) dan terus melonjak kepada 111,259 tan metrik pada Mac 2025.

"Pengurangan ini disebabkan keadaan cuaca yang kurang baik semasa puncak musim monsun. Kenaikan harga runcit pada bulan-bulan ini adalah selari dengan penurunan bekalan ikan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Iklan

Adnan berkata, pendaratan ikan pada bulan ini pula dijangka berjumlah 117,123 metrik tan, manakala bulan November 108,368 metrik tan.

Beliau berkata jumlah pendaratan ikan pada Februari dan Mac 2025 dijangka menunjukkan pemulihan, sekali gus menyebabkan penurunan harga runcit.

Iklan

Walaupun terdapat pengurangan pendaratan ikan seperti kembung, pelaling, cencaru, keli, tilapia, selayang, patin dan kerisi, Adnan berkata bekalan ikan adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik.

"Ini kerana pengeluaran daripada aktiviti akuakultur seperti tilapia, keli dan siakap selain daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) mempunyai 1,600 metrik tan ikan sejuk beku untuk menampung bekalan di pasaran seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata DOF terus komited dalam memantau dan menguruskan sumber perikanan negara bagi memastikan kestabilan bekalan serta harga ikan di pasaran.

"Kami ingin mengingatkan peniaga bahawa tindakan menaikkan harga ikan secara tidak wajar boleh memberi kesan negatif kepada pengguna dan pasaran secara keseluruhan. Peniaga diharapkan dapat bekerjasama untuk memastikan harga ikan kekal stabil dan berpatutan.

"Pembeli dinasihatkan berbelanja secara bijak dan tidak menyimpan stok secara berlebihan. Kerajaan akan terus memastikan bekalan ikan yang mencukupi dan berpatutan untuk semua,” katanya. - Bernama

TAG: DOF, Adnan Hussain, pendaratan ikan, Monsun Timur Laut, bekalan, harga