SEKITAR 15 tahun lalu, kemunculan band indie mendapat sambutan yang cukup hangat sehingga kebanyakan konsert gig pada ketika itu sering dibanjiri peminat.
Bagaimanapun selepas satu ketika, band indie Indonesia seolah-olah mula mendapat tempat di hati peminat tempatan dan band indie tempatan seakan menjadi tempelan dalam konsert 'underground' di negara kita.
Namun menyedari sambutan dan potensi terhadap band indie tempatan mendorong B De Paris Project menganjurkan Konsert Destiny of Music 2.0 pada 15 November depan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Bakal menampilkan empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks, konsert ini dijangka menjadi platform utama untuk meraikan kebangkitan muzik tempatan dengan lebih bertenaga dan dinamik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif B De Paris Project, Burhan Ahmad, ia susulan sambutan luar biasa terhadap Konsert Destiny of Music yang buat julung kali diadakan pada bulan Jun lalu.
Dalam masa sama, penganjuran konsert tersebut antara usahanya untuk memartabatkan muzik indie tempatan selain membuka lebih banyak peluang kerjasama seperti B De Paris Project selaku penganjur utama dan Sinemalis Studio serta Westzone Entertainment selaku penganjur bersama.
"Kejayaan dan penerimaan positif yang diterima sewaktu penganjuran edisi yang pertama baru-baru ini telah mendorong kami untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert-konsert sebegini," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini.
Berbeza dengan konsert biasa, konsert Destiny of Music 2.0 dijangka mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan peminat setia yang sering mencari tiket berpatutan untuk menikmati persembahan berkualiti.
Katanya, harga tiket bermula serendah RM55, menjadikan konsert ini sebagai salah satu acara yang mampu diakses oleh semua.
"Saya fikir kalau kita jual dengan harga mahal, tidak ramai yang mampu untuk hadir, tetapi jika kita jual dengan harga yang berpatutan, akan ada lebih ramai yang boleh menyaksikan konsert itu bersama.
"Oleh kerana Konsert Destiny of Music 2.0 merupakan kesinambungan daripada konsert yang diadakan sebelum ini, kami telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar penganjuran kali ini jauh lebih baik daripada yang pernah dianjurkan," ujarnya.