KSrelief, ICRC tandatangani memorandum sokongan AS$10 juta bantuan di Gaza

Iklan
Memorandum itu ditandatangani oleh Penolong Ketua Penyelia Operasi dan Program KSrelief, Eng Ahmed bin Ali Al-Baiz dan Ketua Delegasi Serantau ICRC untuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Mamadou Sow. Foto SPA
RIYADH - Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) menandatangani memorandum sokongan kewangan bernilai US$10 juta pada Selasa dengan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bagi menangani keperluan kemanusiaan yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), memorandum itu ditandatangani oleh Penolong Ketua Penyelia Operasi dan Program KSrelief, Eng Ahmed bin Ali Al-Baiz dan Ketua Delegasi Serantau ICRC untuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Mamadou Sow.

Di bawah perjanjian itu, program dan aktiviti ICRC dalam sektor kesihatan, air, sanitasi alam sekitar, dan pemakanan di Semenanjung Gaza akan disokong.

Pembiayaan itu juga akan membantu penduduk yang dipindahkan dengan bantuan segera dan perlindungan tempat tinggal.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Arab Saudi melalui KSrelief, untuk menyokong rakyat Palestin yang terjejas di Gaza dan menyediakan perkhidmatan penting kepada mereka. - Bernama