KUALA LUMPUR - Meneruskan komitmennya dalam menyokong kesihatan mental, Suria KLCC melancarkan kempen #BeKindOnline bagi menangani isu buli siber, yang berlangsung dari 10 hingga 20 Oktober ini.
Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut menerusi sesi podcast.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, kempen itu bertujuan mengatasi masalah buli siber yang semakin meningkat serta kesannya terhadap kesihatan mental, di samping mempromosikan ruang digital yang selamat dan positif.
Menurutnya, pihaknya meneruskan kerjasama dengan organisasi kesihatan mental utama seperti Malaysian Mental Health Association (MMHA), Befrienders KL, Mental Illness Awareness Support Association (MIASA) dan Nyawa.
"Menyertai inisiatif itu tahun ini adalah Taylor’s University’s Mental Health dan Well-being Impact Lab yang menyumbang kepakaran mereka melalui sesi podcast dan konsultasi.
"Dengan fokus kuat terhadap penggunaan ruang digital, kempen #BeKindOnline akan menampilkan inisiatif berasaskan kandungan yang diterajui pempengaruh dan personaliti utama. Mereka akan berinteraksi dengan orang ramai di media sosial, berkongsi kisah peribadi, pandangan pakar serta strategi untuk menangani buli siber,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kandungan kempen akan disebar luas di pelbagai platform untuk memaksimumkan jangkauan, menggunakan video pendek, petikan podcast dan perbincangan dalam talian yang meningkatkan kesedaran terhadap fenomena sosial yang semakin berkembang itu.
Ujarnya, walaupun sebahagian besar kempen berlangsung dalam talian, tarikan fizikal utama boleh ditemui di pintu masuk Park Mall di Suria KLCC di mana ruang selamat pelbagai fungsi yang unik disediakan untuk pengunjung.
Tambah beliau, ruang interaktif itu menjadi tempat rakaman podcast langsung dan juga berfungsi sebagai ruang konsultasi dengan pakar kesihatan mental, menawarkan pengunjung alat praktikal dan nasihat pakar untuk menghadapi cabaran buli siber.
"Dalam era digital ini, kata-kata kita mempunyai kuasa yang luar biasa. Ia boleh mengangkat seseorang, atau ia juga boleh meninggalkan kesan luka yang mendalam.
"#BeKindOnline melangkaui sekadar meningkatkan kesedaran; Suria KLCC bertujuan untuk menawarkan penyelesaian dan sokongan nyata kepada mereka yang terkesan oleh buli siber, memastikan tiada siapa yang menghadapi cabaran ini bersendirian,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, Suria KLCC berjaya memperoleh Platinum Anugerah PPK Malaysia 'Best Experiential Marketing' 2023-2024.
"Anugerah berprestij ini mengiktiraf kejayaan kempen kesedaran kesihatan mental yang kami bawakan, yang juga sebelum ini pernah memenangi emas pada 2020-2022.
"Mencapai Platinum kini menekankan komitmen Suria KLCC untuk terus meningkatkan usaha dan dedikasinya untuk memberikan impak berkekalan kepada komuniti,” katanya.