TEMERLOH - Asrama Madrasah Tarbiah Islamiah (MTI) Kampung Chatin, Mentakab di sini yang menempatkan 53 pelajar lelaki dan 33 perempuan terjejas banjir sejak Selasa.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MTI, Rustami Ahmad berkata, ia merupakan kejadian kali kedua madrasah itu dinaiki air selepas situasi sama berlaku pada awal tahun ini.
Menurutnya, buat masa ini sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa.
"Mereka yang tinggal berhampiran dibenarkan berulang-alik dan yang dari jauh ditempatkan di bangunan lain yang tidak terjejas.
"Buat masa ini, kita telah mengambil langkah berjaga-jaga ekoran pengalaman banjir besar pada 2014 dan 2021 lalu untuk mengelakkan kerugian lebih besar.
"Segala peralatan pembelajaran dan barangan telah dipindahkan ke tempat lebih tinggi sejak awal bulan ini selain memastikan keselamatan pelajar dan warga MTI sepanjang musim banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, situasi pada Rabu menyaksikan paras air kekal bertahan dan berharap air cepat surut untuk keselesaan dan keselamatan warga MTI.
Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang bantuan dan sumbangan buat MTI untuk meringankan beban madrasah tersebut yang kini mempunyai 195 pelajar keseluruhan.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Muamalat (06020002577715) dengan rujukan banjir atas nama PIBG MTI.