Beri perhatian serius isu kuota calon wanita

Iklan
Ameera Nadia

GEORGE TOWN - Sudah tiba masanya semua pihak terutama kerajaan memberikan perhatian serius mengenai isu kuota calon wanita dalam pilihan raya.

Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, pihaknya menyokong cadangan pindaan Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya yang disuarakan Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Puteri UMNO Pulau Pinang menyifatkan langkah itu sejajar dengan aspirasi untuk memperkasa golongan wanita muda dan memperluas peranan wanita dalam politik.

"Meskipun wanita merangkumi separuh daripada populasi negara, penglibatan mereka dalam politik masih sangat rendah dan berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, penguasaan politik oleh golongan wanita hanya berada pada kadar 0.102 peratus.

Iklan

"Jadi pindaan ini dapat memastikan suara wanita lebih didengar dan kepentingan mereka lebih diutamakan dalam proses pembuatan dasar. Ini akan memberi peluang kepada wanita untuk turut serta dalam penggubalan undang-undang yang lebih inklusif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ameera berkata, selain meningkatkan penglibatan wanita, langkah berkenaan juga dilihat akan membantu UMNO secara keseluruhan dalam memperkukuhkan reformasi politik parti.

Iklan

Ujarnya, langkah tersebut tidak hanya menunjukkan bahawa UMNO adalah parti yang inklusif dan progresif, tetapi juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen parti untuk melibatkan semua lapisan masyarakat.

"Sokongan terhadap pindaan ini juga selaras dengan komitmen Malaysia terhadap agenda global, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesaksamaan gender.

"Dalam konteks nasional, ia dilihat sebagai langkah penting ke arah dasar yang lebih adil dan inklusif," katanya lagi.

Beliau berpendapat peningkatan wakil wanita di arena politik akan membawa Malaysia lebih dekat kepada mencapai kesaksamaan gender yang sebenar, selain memperkukuh landskap politik negara.