Kastam rampas dadah bernilai RM6.6 juta, disorok dalam mesin pengukur

Iklan
Anis Rizana (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang ditemui dalam ruangan mesin pengukur industri menerusi pemeriksaan di Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 6 Oktober lalu.

SEPANG - Mengubah suai ruangan dalam mesin industri antara taktik digunakan sindiket penyeludupan untuk menyembunyikan 40 bungkusan dadah bernilai RM6.6 juta.

Taktik itu berjaya dibongkar dalam operasi di Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Keseluruhan dadah seberat 207 kilogram itu dipercayai dibawa masuk ke Malaysia sebagai transit sebelum dihantar untuk pasaran di negara teluk.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Ruangan mesin yang diubah suai untuk dimasukkan dadah dikesan dalam operasi di Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 6 Oktober lalu.

Iklan

"Susulan itu, pemeriksaan dijalankan pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) kira-kira jam 4.40 petang menerusi mesin pengimbas khas di Zon Perdagangan Bebas, KLIA.

"Pasukan operasi kemudiannya menyita sebuah mesin pengukur industri sebelum menemui 40 bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis methamphetamine yang telah disembunyikan di dalam ruangan khas mesin berkenaan," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kargo, KLIA pada Rabu.

Iklan

Katanya, siasatan mendapati dadah tersebut dipercayai dari negara benua Amerika.

"Kesemua dadah ini bukan untuk pasaran di Malaysia sebaliknya siasatan mendapati ia untuk pasaran di negara teluk.

"Malaysia dipercayai menjadi lokasi transit dadah ini sebelum ia dihantar ke negara lain, dan susulan maklumat diterima daripada kerajaan Arab Saudi, kegiatan penyeludupan ini berjaya ditumpaskan," katanya.

Menurutnya, methaphetamine adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian III, Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Keseluruhan bungkusan methamphetamine ini yang dianggarkan 207 kilogram berat kasar dan bernilai sekitar RM6,624,000.

"Siasatan mendapati sindiket penyeludupan ini membuat pengikraran yang tidak benar dengan mengikrarkan dagangan sebagai sebuah mesin pengukur dan menyembunyikan dadah berbahaya di dalamnya," katanya.

Anis Rizana berkata, rampasan berikutnya merupakan hasil pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 9 malam yang menemui dadah dalam kotak di Terminal Dua, KLIA.

"Pemeriksaan dijalankan melibatkan kotak yang telah ditinggalkan dengan tag penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri.

"Susulan itu, pasukan operasi menemukan plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dan ketamin dengan berat 10.12 kilogram serta nilai rampasan sekitar RM451,420," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.