SEREMBAN - Sebuah syarikat pengendali pakej umrah berserta pengarahnya didenda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas enam pertuduhan gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar tuntutan berjumlah RM67,390 kepada tiga individu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap Syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd dan Mohd Firdaus Ahmad, 38.
Beliau turut memerintahkan hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sebelum itu, mahkamah diberitahu yang Mohd Firdaus telah membuat pengakuan bersalah pada 14 Oktober lepas.
Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) didapati telah gagal selepas 14 hari dari tarikh award diserahkan untuk mematuhi award TTPM bertarikh 27 Jun 2023 yang dibuat di Pejabat TTPM Negeri Sembilan yang memerintahkannya supaya membayar RM14,040 kepada Norma Said, 58; RM27,880 kepada Azlina Umar, 52, dan RM25,470 kepada Siti Aisyah Zakaria, 32, yang menuntut tuntutan itu.
Perbuatan tersebut dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Ostia Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 26 Julai 2023.
Berikutan itu, OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Sebelum itu, Mohd Firdaus dalam rayuan hukumannya mendakwa yang namanya secara tidak sah diletakkan sebagai pengarah syarikat pada penghujung tahun 2022.
Jelasnya, dalam kes itu dia boleh dikatakan telah dijadikan sebagai kambing hitam dan merupakan rakan kongsi dengan pemilik syarikat.
"Disebabkan kes ini, saya juga kehilangan kerja dan segala-galanya. Saya berazam untuk membayar balik (award perintah). Bagi masa dan ruang kepada saya," katanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Janawatul Fieza Hamisan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.
Ini kerana katanya, semakin banyak kes ketidakpatuhan award dan mohon hukuman sewajarnya kepada OKS bagi memberi pengajaran.
Sinar Harian pada 9 Januari lalu melaporkan, OKS membuat pengakuan bersalah atas atas empat pertuduhan gagal mematuhi award TTPM kepada dua individu berjumlah RM41,920, Julai tahun lalu.