Kastam gagal cubaan seludup dadah guna bagasi di KLIA

Iklan
Anis Rizana menunjukkan bagasi diisi dengan dadah yang berjaya dibongkar pihaknya menerusi tangkapan dua lelaki di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

SEPANG - Tindakan mencurigakan dua individu yang berlegar-legar di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membongkarkan penemuan 50 bungkusan dadah dalam bagasi pada Khamis lalu.

Kedua-dua suspek lelaki yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter' itu ditahan pegawai kastam yang bertugas di Bahagian Perkastaman, Cawangan Penumpang KLIA.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an sebelum itu didapati dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pegawai kastam di lokasi berkenaan pada jam 1 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek terbabit baharu sahaja tiba dari negara jiran dengan menaiki penerbangan milik sebuah syarikat penerbangan di Malaysia.

Iklan

"Pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas ke atas dua bagasi milik suspek kemudian menemukan objek dan imej yang mencurigakan.

"Pemeriksaan rapi menemui 58 bungkusan plastik lut sinar kedap udara yang mengandungi gumpalan tumbuhan berwarna hijau disyaki dadah jenis kanabis.

Iklan

"Keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan berat sebanyak 33 kilogram serta bernilai RM102,300," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo, KLIA pada Rabu.

Anis Rizana berkata, kanabis adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian Pertama, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan awal mendapati kanabis ini cuba dibawa masuk oleh penumpang untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang dan dipercayai dari negara jiran.

"Dadah ini didapati menggunakan plastik kedap udara bagi mengelak bau dikesan selain didaftar masuk menggunakan kaedah 'checked baggage' bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Tambahnya, orang ramai digesa untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Sebarang maklumat juga dapat disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," katanya.