Pembantu rumah nafi curi RM20,000, kad OKU majikan

Iklan
Dewi Wulandari (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri wang majikannya di Mahkamah Majistret Melaka pada Rabu.

MELAKA - Pembantu rumah warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan mencuri wang majikannya sebanyak RM20,000.

Dewi Wulandari, 31, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pembantu rumah telah didapati mencuri harta dalam milikan majikannya iaitu wang tunai dianggarkan berjumlah RM20,000, kad pengenalan bernama Loh Chin Yee, 42, dan kad orang kurang upaya (OKU) individu sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Rusa 1, Taman Sin Hoe, Bukit Baru di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari, pada 16 Mei lalu.

Iklan

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh yang mengenakan baju berwarna putih turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan sebagai pemegang pasport Indonesia telah tinggal di negara ini melebihi daripada tempoh pas khas yang dibenarkan iaitu selama 11 bulan dua minggu dan empat hari tanpa sebab yang munasabah.

Iklan

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pekarangan Balai Polis Malim di sini, kira-kira jam 5.31 petang pada 8 Oktober lalu.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan mahkamah kemudian menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes.