PERKESO Selangor kerjasama dengan PBT wajibkan penjaja, peniaga carum SKSPS

Iklan
Ismail (dua dari kanan) bersama-sama pegawainya serta kakitangan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan menyampaikan kotak prihatin PERKESO kepada waris penerima di Kampung Sungai Leman Sekinchan pada Rabu.

SABAK BERNAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor bekerjasama dengan semua 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi memastikan penjaja dan peniaga berlesen mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang berkuat kuasa pada 1 Januari tahun hadapan.

Pengarahnya, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada semua PBT dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan penjaja dan peniaga jika berlaku bencana semasa kerja.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perkara itu juga dibentangkan PERKESO dalam Mesyuarat Fokus Grup Pembasmian Kemiskinan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, baru-baru ini.

"Kita telah bentangkan tentang keperluan caruman SKSPS (penjaja dan penjaja) bagi mendapatkan kerjasama PBT dalam membantu meningkatkan kesedaran tentang faedah caruman ini," katanya ketika ditemui selepas Penyampaian Kotak Prihatin PERKESO kepada waris penerima di Kampung Sungai Leman Sekinchan di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut Ismail, usaha itu akan terus dipergiatkan di setiap PBT bagi memastikan jumlah individu mencarum terus meningkat.

"Kita juga akan mengadakan bengkel penerangan mengenai kepentingan caruman ini pada November nanti," jelas beliau.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, PERKESO turut berdepan cabaran antaranya memastikan penjaja dan peniaga memperbaharui caruman mereka pada setiap tahun.

"Kita hendak kekalkan supaya mereka ini terus mencarum, bukan setakat sekali sahaja caruman, sebaliknya berterusan," ujarnya.

PERKESO mewajibkan penjaja dan peniaga mencarum SKSPS bermula 1 Januari tahun depan.

Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos 2024 melalui P U (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September lalu.

Sektor penjaja adalah yang ketiga dijadikan mandatori untuk caruman SKSPS, selepas sektor perkhidmatan pengangkutan penumpang bermula 2017 serta sektor perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022.

Mengulas mengenai penyampaian kotak prihatin PERKESO, Ismail berkata, penyampaian itu diserahkan kepada Mohamad Sharul Nizam Azman, 26, yang merupakan anak kedua kepada Allahyarham Siti Sumiah Tumin yang meninggal dunia pada 19 Jun lalu.

Ujarnya, Allahyarham pernah bekerja di sebuah syarikat swasta sehingga 2003, namun tidak mencukupi untuk tuntutan penakat Akta 4.

Bagaimanapun, katanya, PERKESO meluluskan bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 dan bayaran penakat untuk dua daripada empat anak Allahyarham sebanyak RM180 sebulan.

"Arwah telah disahkan meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada bahagian kaki," ujarnya.