Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Abang sulung suspek didakwa sokong Daesh

Iklan
Keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram dibawa ke mahkamah.

KUALA LUMPUR - Abang sulung kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram hingga mengorbankan dua anggota polis, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Penghantar makanan, Radin Romyullah Radin Imran, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, K Muniandy.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun, atau denda dan hendaklah dirampas harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung tahun 2014.

Bagi kes kedua, dia didakwa dalam kawalannya cakera keras mengandungi bahan berkaitan kumpulan itu dan perlakuan pengganas di lokasi sama antara 17 dan 19 Mei lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Prosiding ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan sementara tertuduh itu diwakili peguam, Arief Firdaus Ashikin.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes itu pada 15 November depan.

Pada 30 September lalu, ibu suspek penyerang berkenaan iaitu Rosna Jantan, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan, di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, antara April 2017 hingga 17 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap wanita itu yang juga warga Singapura dibuat mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada kejadian serangan di balai polis itu pada 17 Mei lepas, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban selepas diserang seorang lelaki manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Suspek turut ditembak mati dalam insiden serangan itu.