Lelaki maut dibaham harimau berhasrat mahu jumpa anak

Iklan
Saina menunjukkan gambar arwah suaminya yang maut dibaham harimau dalam kejadian di Gerik pada Selasa.

TAIPING - Lelaki yang maut diserang harimau dalam kejadian di sebuah rumah kongsi Bagan Balak di KM 79.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli dekat Gerik pada Selasa ada menyatakan hasrat ingin bertemu dengan anak-anaknya.

Isterinya, Saina Binsa-I, 54, berkata, hasrat itu disampaikan arwah Adnan Ismail, 54, pada Isnin selepas sebulan bekerja sebagai pengendali jentera berat di kawasan hutan sempadan Perak dan Kelantan itu.

Iklan
Iklan
Mayat Adnan berjaya ditemui kira-kira 100 meter dari rumah kongsi Bagan Balak di KM 79.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli dekat Gerik pada Selasa. Foto pembaca

"Suami kata dia hendak balik kampung (Kuala Krai, Kelantan) untuk jenguk isteri pertama dan anak-anaknya berikutan ada duit lebih sikit untuk belanja mereka.

"Saya kata balik la hari ini (Isnin) lagi pun kerja tidak banyak sebab hujan. Dia kata esok lah. Kalau dia tidak tangguh mungkin tidak jadi kejadian ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Taiping di sini pada Rabu.

Iklan

Menceritakan kembali kejadian itu, Saina yang juga warga Thailand berkata, insiden ngeri itu disifatkan berlaku sekelip mata hinggakan tidak mendengar sebarang jeritan suaminya sekitar jam 5 pagi itu.

"Saya sedang solat tahajud terhenti apabila terdengar bunyi jatuh. Saya panggil dia tidak menyahut dan berlari buka pintu kerana bimbang akan keselamatan dia yang mahu ke tandas.

Iklan

"Sebaik buka pintu abang sudah hilang dan waktu itu saya terdengar bunyi kuat seperti kena heret dari arah semak tepi rumah.

"Saya jerit kejutkan pekerja lain dan mereka beritahu harimau sebab jumpa kesan tapak kaki," katanya.

Dia yang bekerja sebagai tukang masak tidak menyangka kawasan rumah kongsinya itu turut didiami pak belang berikutan tiada tanda-tanda kehadirannya termasuk bunyi ngauman.

"Selama sebulan tidak pernah dengar sebarang ngauman atau kesan tapak kaki kerana kawasan rumah kami tepi jalan, bukanlah jauh masuk ke hutan. Kalau gajah itu biasa kita dengar.

"Walaupun tidak nampak saya percaya harimau itu juga bersaiz besar kerana ia boleh mengheret jauh arwah yang mempunyai berat sekitar 70 kilogram," katanya.

Tambah Saina, dia reda dengan kejadian menimpa suaminya itu dan akan pulang ke kampungnya di daerah Weng, Thailand untuk bertenang.

Jenazah Adnan akan dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor, Kuala Krai, Kelantan selepas selesai bedah siasat.

Media melaporkan mayat Adnan ditemui sekitar jam 12 tengah hari kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan Pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bersama sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pemeriksaan pada tubuh bapa kepada 10 orang anak itu mendapati terdapat kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan leher.