SHAH ALAM - Waris kepada salah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan pada 9 Oktober lalu menerima penyelesaian hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM7,092.51
Keluarga Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin turut menerima khairat kematian RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM2,000 serta kotak makanan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, ketabahan keluarga dalam menghadapi tragedi berlaku adalah suatu yang sangat menginspirasikan.
"Kami ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
"Semoga dengan sumbangan ini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris dalam waktu sukar.
"Setiap sumbangan diberikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sumbangan diserahkan kepada keluarga waris di Kampung Pandan Dalam, Ampang, Selangor sempena Program Ziarah PTPTN Prihatin,
Hadir sama, Pengurus Besar kanannya, Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Selangor, Rohaida Deris.
Khairil Anwar, 20, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan antara tiga pelajar UiTM Dungun yang maut dalam kemalangan ketika pulang dari makan malam di sebuah gerai berhadapan universiti tersebut.
Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, seorang lagi rakan mereka terselamat apabila dua motosikal ditunggang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai dipandu wanita yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Menurut PTPTN, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan program CSR dan menjaga kebajikan peminjam.
Mengenai Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN berkata, ia merupakan perlindungan takaful berkelompok bagi melindungi jumlah pinjaman sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh yang meliputi di seluruh dunia.
"Di bawah konsep itu, amaun pinjaman dikeluarkan kepada semua pinjaman akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik PTPTN.
"Bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my,” kata PTPTN.