GISBH: Ada pihak 'intai' kanak-kanak di pusat perlindungan

Iklan
Nancy Shukri ketika ditemui pemberita selepas Program Kolaborasi Strategik Bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri hari ini mendedahkan terdapat pihak 'mengintai' rumah perlindungan menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Bagaimanapun, Nancy berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada perbuatan itu dilakukan oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, pihaknya telah memperketatkan kawalan keselamatan bagi melindungi kanak-kanak terlibat.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kolaborasi Strategik Bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri di sini hari ini.

Iklan

Nancy berkata, setakat ini pihaknya belum dapat membenarkan ibu bapa atau waris kepada kesemua kanak-kanak itu melawat kerana bimbang sebaik perkara itu dilakukan, ia akan mengundang kehadiran ramai pihak tidak berkenaan dan bukan hanya ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan itu.

Beliau berkata, seramai 560 kanak-kanak ditempatkan di tempat perlindungan itu setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan.

Iklan

"Kalau semua okay, kita kena keluarkan (kanak-kanak), tapi kalau masih ada di antara mereka tidak dapat dikeluarkan atas sebab-sebab tertentu dan undang-undang, kita akan kekalkan mereka di sini.

"Untuk mengekalkan mereka, kita perlu memohon semula (perintah mahkamah). Kita perlu keluarkan mereka awal bulan depan kalau dapat dibuktikan bahawa mereka ialah anak kepada ibu yang menuntut," katanya.

Nancy menegaskan, setiap tindakan yang dilakukan oleh JKM adalah berlandaskan peruntukan undang-undang termasuk semasa serbuan dibuat bersama dengan pihak polis.

"Kita tidak sebarangan (bertindak) sebab kita tidak mahu memisahkan anak-anak dengan ibu bapa," katanya.

Pada masa sama, beliau juga meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat disebarkan menerusi media sosial yang mengatakan bahawa ibu bapa dilarang menuntut anak-anak mereka.

Beliau berkata, proses mengembalikan kanak-kanak kepada ibu bapa kandung perlu dilakukan secara teliti, termasuk mematuhi undang-undang sedia ada untuk mengelak sebarang masalah berbangkit. - Bernama