Pindaan Akta Pilihan Raya iktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara

Iklan

SHAH ALAM - Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Selangor menyokong penuh saranan pindaan Akta Pilihan Raya yang menetapkan peraturan minima 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya.

Ketua AWAN Selangor, Rawiyiah Zakaria berkata, saranan itu selaras Dasar Wanita Negara selain mengiktiraf sumbangan penting wanita dalam pembentukan dasar dan kepimpinan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan penyertaan wanita dalam politik merupakan langkah kritikal untuk memastikan bahawa perspektif dan keperluan semua golongan masyarakat diambil kira.

"Dalam konteks ini, peraturan minima 30 peratus calon wanita bukan sahaja memperkukuhkan prinsip kesaksamaan, tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin untuk mewujudkan kerajaan yang lebih inklusif dan responsif.

Iklan

"AWAN Selangor percaya bahawa pelaksanaan akta ini akan membuka lebih banyak peluang bagi wanita untuk menyertai arena politik, sekali gus meningkatkan kualiti dan keberkesanan keputusan yang diambil," katanya menerusi kenyataan.

Susulan itu katanya, AWAN Selangor menggesa semua pihak, termasuk pemimpin politik dan penggubal undang-undang untuk menyokong pindaan itu demi masa depan yang lebih adil dan seimbang.

Iklan

Tegasnya, langkah itu bukan sekadar memenuhi kuota, tetapi merupakan usaha kolektif untuk menjadikan suara wanita lebih kuat dalam setiap lapisan pembuatan keputusan dalam negara ini.